Warga emas rugi RM762,700 terpedaya sindiket tawaran PR Singapura

Warga emas rugi RM762,700 terpedaya sindiket tawaran PR Singapura

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Hasrat seorang wanita warga emas mendapatkan taraf penduduk tetap (PR) Singapura tidak kesampaian apabila kerugian RM762,700 selepas diperdaya sindiket penipuan di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, mangsa mula berurusan dengan suspek selepas melihat iklan perkhidmatan itu di media sosial 23 Disember tahun lalu.

“Mangsa kemudian menghubungi satu nombor telefon Singapura sebelum dimaklumkan bayaran bagi urusan mendapatkan PR Singapura sebanyak SGD300.

“Mangsa membuat beberapa bayaran ke akaun bank diberikan suspek dengan 123 transaksi deposit tunai berjumlah RM762,700 antara 5 Mei hingga 31 Ogos lalu menggunakan wang simpanannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, selepas semua pembayaran dibuat, suspek masih meminta mangsa membuat bayaran tambahan.

Katanya, mangsa yang menyedari dirinya diperdaya kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top