am@hmetro.com.my
Melaka: Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin enggan mengulas perkembangan rundingan pembahagian kerusi antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebaliknya, Hamzah berkata, media diminta memberi tumpuan kepada penganjuran Melaka Coastal Run 2026 yang disertai lebih 2,000 peserta daripada pelbagai peringkat umur.
“Banyak (media) nak tanya politik ini pasal apa? Kami nak berjalan dulu,” katanya di Pantai Puteri, di sini, hari ini.
Rundingan pembahagian kerusi PN-BN bagi menghadapi PRN Melaka sebelum ini belum dimuktamadkan, manakala WAWASAN menyatakan hasrat mempertahankan kerusi DUN Bemban dan DUN Sungai Udang.
Dalam pada itu, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, Melaka Coastal Run 2026 yang dirancang kira-kira tujuh hari sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bukan semata-mata berkaitan politik.
Beliau berkata, idea menganjurkan program berkenaan tercetus hasil pertemuannya dengan bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Naib Presiden WAWASAN, Tan Sri Rahim Thamby Chik, kira-kira seminggu sebelum pembubaran DUN.
“Pembentukan program dirancang tujuh hari sebelum pembubaran, kita tak tahu pun bahawa mereka nak membubarkan pada hari Selasa,” katanya.
Program berkenaan menarik penyertaan lebih 2,000 peserta dan jika diteruskan setiap tahun, berpotensi mengembalikan minat orang ramai untuk berkunjung ke Melaka, katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




