PEMAIN tengah Republik Ireland, Jason Knight menjadi pemain pertama skuad itu yang secara terbuka mempersoalkan kewajaran pasukannya meneruskan aksi menentang Israel.
Menurut Knight, perlawanan berkenaan tidak sepatutnya diteruskan, namun keputusan sudah dibuat dan pemain kini perlu berbincang secara lebih mendalam mengenai pendirian mereka serta kemungkinan kesan yang bakal dihadapi.
“Saya fikir perlawanan itu tidak sepatutnya diteruskan, tetapi ia tetap akan berlangsung.
“Kami akan berbincang dengan lebih mendalam mengenai perkara ini dan apa maknanya. Kami akan mendapatkan pandangan semua pemain sebagai satu kumpulan sebelum menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Perlawanan tersebut mencetuskan perdebatan hangat di Republik Ireland susulan konflik berterusan di Gaza, malah kumpulan Stop The Game semakin lantang menggesa aksi berkenaan diboikot.
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sebelum ini membenarkan Israel meneruskan penyertaan dalam pertandingan antarabangsa meskipun isu konflik di Gaza terus menjadi perhatian masyarakat antarabangsa.
Aksi antara kedua-dua pasukan itu dianggap luar biasa kerana Republik Ireland dan Israel tidak berada dalam keadaan perang secara langsung.
Pertemuan seterusnya dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober di Backa Topola, Serbia, yang akan menjadi gelanggang ‘tuan rumah’ Republik Ireland. Perlawanan itu juga akan berlangsung secara tertutup tanpa kehadiran penonton.



