Shereen akui tahun ini bukan miliknya

Shereen akui tahun ini bukan miliknya

PETALING JAYA: Pelari 400 meter (m) wanita negara, Shereen Samson Vallabouy mengakui kecewa selepas gagal melayakkan diri ke final acara tersebut pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, namun enggan menyalahkan dirinya sendiri atas keputusan itu.

Shereen berkata, dia sudah memberikan segala kemampuan dalam perlumbaan separuh akhir yang berlangsung kelmarin dan kini perlu menilai semula prestasinya bersama barisan kejurulatihan.

“Sudah tentu saya kecewa. Saya tidak akan tipu, saya kecewa dan sedih tetapi saya sudah memberikan segala-galanya yang saya ada hari ini (kelmarin).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak boleh terlalu menyalahkan diri sendiri kerana saya sudah memberikan segala yang saya ada. Saya perlu melihat semula perlumbaan ini bersama jurulatih dan menilai semula daripada situ,” katanya.

Kelmarin, Shereen gagal mara ke final setelah menamatkan saringan ketiga 400m wanita di kedudukan keempat dengan catatan masa 54.03s sekali gus berada di tempat ke-10 keseluruhan daripada 17 peserta.

Dalam pada itu, Shereen turut berkata, dia berdepan cabaran pada musim ini berikutan ketiadaan jurulatih fizikal tetap dan perlu berlatih secara sendirian sebelum mendapatkan khidmat jurulatih dan program secara dalam talian.

Katanya lagi, dia perlu mengadakan perbincangan bersama jurulatih olahraga negara, Thabo Matebedi mengenai kerjasama di antara mereka serta program latihan yang bakal dilakukannya.

“Saya sudah lama dalam sukan ini dan pada usia 28 tahun, saya perlu memastikan saya bergerak ke arah yang betul. Jadi, saya perlu berbincang secara terbuka dengannya dan melihat dahulu bagaimana sistem latihannya,” katanya.

Sebagai rekod, Shereen merupakan pemenang pingat gangsa bagi acara 400m wanita pada Sukan Asia Hangzhou 2022.-UTUSAN

Scroll to Top