KUALA LUMPUR: Aduan membabitkan gangguan, ugutan dan salah laku berunsur seksual dalam kalangan pelajar perlu diberi perhatian serta-merta tanpa mengira latar belakang pengadu bagi memastikan keselamatan mangsa tidak terjejas.
Presiden MCCC Pahang, Daniel Khoo berkata, pihak sekolah tidak seharusnya menunggu sehingga berlaku kejadian lebih serius sebelum mengambil tindakan terhadap aduan yang dikemukakan ibu bapa atau ahli keluarga.
Katanya, keselamatan pelajar perlu menjadi keutamaan, terutama apabila aduan membabitkan unsur gangguan seksual, ugutan atau tingkah laku yang berpotensi mengancam mangsa.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Kalau seorang ibu atau bapa datang mengadu, jangan tengok siapa dia. Tengok masalah yang dibawa dan keselamatan anak yang terlibat.
“Jangan tunggu sampai berlaku sesuatu yang lebih buruk baru kita hendak bertindak,” tegas beliau.
Daniel berkata, perkara itu turut berdasarkan pengalaman ketika membantu anak saudaranya yang bersekolah di sebuah sekolah di Subang selepas didatangi seorang pelajar lelaki yang didakwa mengajaknya melakukan hubungan seks.
Beliau kemudiannya membuat aduan kepada guru disiplin namun mendakwa perkara itu tidak dilayan seperti yang sepatutnya ketika beliau hadir sebagai ahli keluarga dan tidak memperkenalkan dirinya sebagai anggota pertubuhan.
Katanya, keadaan didakwa berubah selepas beliau memperkenalkan diri dan memaklumkan penglibatannya dengan MCCC.
“Bila saya kenalkan diri, barulah mereka mahu ambil tindakan.
“Jadi persoalannya, kalau saya datang sebagai orang biasa, adakah aduan itu tidak akan diberi perhatian yang sama?” soalnya.
Beliau berkata, pendekatan terhadap aduan salah laku pelajar perlu berubah daripada sekadar melihatnya sebagai masalah disiplin kepada isu yang turut membabitkan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak.
Katanya, setiap aduan perlu dinilai berdasarkan keseriusan risiko terhadap mangsa dan bukannya siapa yang membuat laporan.-UTUSAN




