Enam cedera angkara buah sawit jatuh dari lori

Enam cedera angkara buah sawit jatuh dari lori

am@hmetro.com.my

Semporna: Angkara buah sawit terjatuh dari lori, enam cedera termasuk seorang parah apabila tiga kenderaan kemalangan ketika cuba mengelak ia bertaburan di atas jalan di Simpang Empat Kalumpang, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.52 pagi yang mendapati kemalangan membabitkan sebuah Isuzu D-Max, Toyota Hilux dan Toyota Avanza, selain lori yang membawa muatan kelapa sawit.

“Tiga kenderaan dipercayai cuba mengelak buah sawit yang bertaburan di atas jalan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zainal berkata, semua kenderaan termasuk lori berkenaan dalam perjalanan menuju ke Tawau dan tujuh individu terbabit, terdiri daripada tiga lelaki dan empat wanita.

“Pemandu Isuzu D-max cedera parah selepas tersepit di dalam kenderaan, manakala seorang lagi mengalami masalah jantung.

“Empat mangsa wanita cedera ringan, manakala seorang lelaki lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya memaklumkan pasukan EMRS memberi rawatan awal kepada mangsa lelaki yang parah sebelum dihantar ke Hospital Semporna.

Beliau berkata, pasukan turut memberi bantuan awal kepada mangsa yang mengalami masalah jantung sebelum diuruskan pasukan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tawau untuk rawatan selanjutnya.

“Dua mangsa lain dibawa ke Hospital Semporna menggunakan ambulans KKM Semporna, manakala dua mangsa perempuan dibawa ke hospital sama oleh pasukan EMRS BBP Semporna,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top