KUALA LUMPUR: Dalam menghasilkan seni batik, prosesnya mungkin kelihatan mudah tetapi realitinya jauh berbeza. Setiap proses memerlukan kemahiran dan ketelitian tinggi kerana kesilapan kecil ketika mencanting atau mewarna akan mempengaruhi keseluruhan hasil akhir.
Pandangan itu cukup menggambarkan cabaran yang dihadapi penggiat batik dalam usaha memastikan warisan berkenaan terus mendapat tempat dalam kehidupan generasi baharu.
Menurut Tokoh Kraf Negara, Ibrahim Deraman, 69, proses menghasilkan batik bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Batik ini sebenarnya payah dibuat tapi kalau orang tengok nampak mudah. Itu yang menyebabkan orang tidak berminat untuk menceburi bidang membuat batik ini,” katanya selepas dinobatkan sebagai Tokoh Kraf Negara 2026 dalam Majlis Perasmian Pesta Kraf Antarabangsa Malaysia (MICF) 2026 di sini semalam.
Anugerah itu disampaikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali.
Ibrahim mempunyai kepakaran dalam menghasilkan seni kraf batik menggunakan pelbagai teknik seperti batik blok berlapis, batik retak seribu dan batik ‘discharge’.
Rekaan batik bertemakan ‘Gabungan Dua Zaman’ karya Ibrahim turut memikat hati peminat kraf tempatan, selain menarik perhatian pelancong antarabangsa termasuk dari Perancis.
Lebih membanggakan, batik yang dihasilkannya turut digunakan oleh delegasi Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
Ibrahim memaklumkan, tiga daripada lapan anaknya merupakan pelapis kepada pembuatan batik yang diusahakannya.
Beliau berkata, seni batik tidak boleh sekadar diwarisi pada nama, sebaliknya perlu dipelajari dan dikuasai oleh generasi muda bagi memastikan kemahiran tradisional itu terus bernyawa.
Menurutnya, satu perkara asas yang perlu ada dalam diri generasi muda adalah minat.
“Kalau minat, buat macam mana pun jadi. Kalau tak minat, buat pendedahan macam mana pun tak jadi. Mesti kena ada minat,” jelasnya.
Mengulas mengenai pengiktirafan yang diterimanya, Ibrahim bersyukur dan gembira atas anugerah yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak dijangka bagi ‘orang biasa’ dari kampung.
“Saya hanya orang biasa dari Kampung Talak,Tumpat, Kelantan jadi bila dapat anugerah begini, memang tidak dijangka.
“Harapan saya agar seni kraf batik warisan ini akan terus berkembang maju dan kekal terpelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Choon Man berkata, industri kraf negara mencatatkan nilai jualan sebanyak RM240.3 juta dengan 96 peratus atau RM230.3 juta adalah daripada pasaran domestik bagi tempoh Januari hingga Julai lalu.
Katanya, angka itu menunjukkan pasaran domestik industri kraf negara adalah kukuh.
“Namun, ruang untuk membawa kraf Malaysia lebih jauh ke pasaran dunia masih luas. Ia boleh dilakukan menerusi MICF 2026.
“MICF memainkan peranan yang strategik dengan menghubungkan pengusaha tempatan kepada pembeli, pasaran dan rakan industri antarabangsa,” katanya.
Choon Man berkata, MICF 2026 membawa mesej penting bahawa warisan bukan sekadar perlu dipelihara, malah perlu diperkasa supaya terus berkembang, berinovasi dan berdaya saing.
”MICF 2026 membuktikan potensi kraftangan sebagai aset budaya serta industri global yang berdaya saing.
“Ia menghimpunkan 400 vendor tempatan dan antarabangsa dari lebih 20 negara,” katanya. – UTUSAN




