Antonelli anggap Baku minggu terburuk

Antonelli anggap Baku minggu terburuk

Baku: Pendahulu kejuaraan Formula 1, Kimi Antonelli menyifatkan Grand Prix Azerbaijan sebagai minggu perlumbaan paling buruk musim ini selepas bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelima semalam susulan kemalangan ketika sesi kelayakan yang menyebabkan dia terpaksa bermula dari petak ke-16.

Hujung minggu sukar buat Antonelli bermula dengan masalah hidraulik ketika latihan pada Khamis sebelum kemalangan pada sesi kelayakan mencalarkan musim cemerlang pelumba Itali berusia 20 tahun itu.

Ia berlaku pada hujung minggu gemilang buat rakan sepasukannya di Mercedes, George Russell yang meraih kemenangan ketiga musim ini sekali gus mengurangkan jurang di tangga teratas kejuaraan daripada 81 kepada 66 mata.

“Sudah tentu ini minggu paling buruk dalam musim ini,” kata Antonelli yang sudah memenangi lapan perlumbaan musim ini dan hadir ke Azerbaijan dengan sasaran meraih kemenangan ketiga berturut-turut.

“Saya sentiasa merasakan seperti ketinggalan satu langkah dan lebih-lebih lagi dengan kesilapan ketika kelayakan, tahap keyakinan saya tidak tinggi.”

Pemanduan Antonelli di Baku semalam jauh berbeza berbanding aksinya di Grand Prix Itali di laman sendiri awal bulan ini apabila dia memecut dari kedudukan ke-19 untuk meraih kemenangan.

Kebangkitan Antonelli di Baku sebaliknya berlangsung secara perlahan dan berperingkat.

Antonelli yang berdepan masalah selepas bersentuhan dengan jentera Haas berkata, dia hanya mampu memandu dengan sasaran mengehadkan kerugian.

Dia turut menyatakan hasrat untuk bangkit pada perlumbaan seterusnya di Malaysia minggu depan.

“Saya fikir banyak yang saya pelajari daripada minggu ini

“Saya fikir dalam banyak keadaan minggu ini, saya tidak tahu, mungkin juga disebabkan pemikiran, saya tidak berada pada tahap terbaik.

“Saya cuma perlu memastikan minggu depan kami kembali ke tahap yang sepatutnya,” kata Antonelli yang berada di landasan untuk menjadi pelumba Itali pertama menjuarai kejuaraan Formula 1 sejak Alberto Ascari pada 1953.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top