Jonassen mahu anak buah bangkit selepas kegagalan di Aichi

Jonassen mahu anak buah bangkit selepas kegagalan di Aichi

sukan@hmetro.com.my

Aichi: Pengarah kejurulatihan perseorangan kebangsaan, Kenneth Jonassen menyifatkan prestasi tidak konsisten anak buahnya pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai hakikat pahit yang perlu diterima dan dijadikan pengajaran untuk terus bergerak ke hadapan.

Jonassen mengakui saingan individu menyaksikan beberapa peluang terlepas selepas dia hadir dengan harapan lebih tinggi terhadap kemampuan pemain negara mencabar lawan terbaik dunia.

“Persembahan pemain lelaki dalam acara berpasukan sangat baik. Perseorangan wanita juga menunjukkan aksi positif dalam acara berpasukan.

“Namun dalam acara individu, ia adalah peluang yang terlepas dan kami sepatutnya melakukan lebih baik.

“Saya meletakkan harapan dan kepercayaan yang tinggi terhadap pemain untuk mereka melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini.

“Apa yang kami pelajari di sini adalah pengajaran yang sangat berharga. Kami perlu mengatasinya jika benar-benar mahu bergerak ke hadapan dan mencabar pemain terbaik dunia,” katanya.

Dalam acara individu, dua pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh masing-masing terkandas di pusingan ketiga.

Jun Hao gagal meneruskan momentum selepas mencipta kejutan menewaskan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Jonatan Christie dalam saingan berpasukan, apabila tewas kepada Alwi Farhan, 16-21, 21-11, 16-21, semalam.

Empat hari sebelum itu, pemain ranking ke-33 dunia itu mencipta sensasi apabila menyumbang mata pertama Malaysia dalam saingan berpasukan selepas menewaskan Jonatan 20-22, 21-17, 21-17, sebelum skuad negara tewas tipis 2-3 kepada Indonesia.

Jonassen berkata, aksi tidak konsistenan dan kesilapan ketika melakukan serangan menyebabkan Jun Hao sukar mengawal perlawanan.

“Malangnya aksi tidak konsisten dan kesilapan ketika menyerang menyukarkan Jun Hao untuk mengikut rentak lawan. Momentum lebih banyak dikawal Alwi.

“Dia cuba sedaya upaya mencari penyelesaian, tetapi jurangnya terlalu besar,” katanya.

Justin pula tersingkir selepas tewas kepada bekas juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew, 14-21, 14-21.

Namun, pemain muda itu terlebih dahulu memberi tentangan sengit kepada Alwi dalam aksi berpasukan sebelum tewas 19-21, 19-21.

Jonassen berkata, Justin perlu meningkatkan aspek taktikal terutama ketika berdepan pemain berpengalaman.

“Dia tewas kepada lawan yang lebih berpengalaman, terperangkap dengan beberapa situasi kecil dan tidak pernah benar-benar dapat memberi cabaran sepenuhnya.

“Dia masih memerlukan kesedaran taktikal lebih baik serta keupayaan mengawal situasi sukar dalam perlawanan,” katanya.

Dalam perseorangan wanita, K Letshanaa tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada Chiu Pin Chian dari Taiwan, 13-21, 13-21, manakala Wong Ling Ching pula tunduk kepada Unnati Hooda dari India, 14-21, 22-20, 19-21 di pusingan kedua.

Jonassen tetap memuji aksi Ling Ching yang memberikan tentangan sengit walaupun gagal mencipta kemenangan.

“Perlawanan tiga set yang sengit, tetapi malangnya ia tidak cukup untuk dia menang. Dia lebih banyak ketinggalan sepanjang permainan, berjaya mengejar, tetapi tidak dapat mengekalkan kedudukan apabila lawan melakukan perubahan pada penghujung perlawanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top