Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak kumpulan yang membawa nama Islam atau Melayu tetapi mengetepikan prinsip akhlak dan idealisme perjuangan dengan menjadikan kebencian, fitnah serta cacian sebagai senjata.
Beliau berkata, gerakan kesedaran atas nama Islam akan tempang sekiranya hanya berpaksikan semangat kemarahan dan menghalalkan adu domba.


“Kita harus bangkit dengan tradisi akliah dan tegak dengan idealisme. Gerakan apa pun atas nama Islam akan teruji bukan semata-mata pada slogan tapi kepada pelaksanaan perjuangannya.
“Justeru saya menempelak kumpulan yang menunggang nama Islam atau Melayu, riuh melaungkan tentang bangsa tetapi mengetepikan soal akhlak dan idealisme perjuangan.
“Apa ertinya parti atau gerakan Islam sekiranya bergerak dengan meninggalkan prinsip akhlak, penuh dengan kebencian serta menjadikan fitnah dan cacian sebagai senjata dan wirid harian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh ucapan Almarhum Siddiq Fadzil bahawa Islam tidak bangkit hanya dengan ledakan semangat, emosi dan sentimen, sebaliknya dengan kekuatan ilmu yang menyedarkan dan menginsafkan.
Beliau turut menekankan kepentingan usrah dalam gerakan tanpa meninggalkan tradisi turath Islami yang penting dalam memandu gerakan dan perjuangan.

“Saya juga sentuh kepentingan usrah dalam gerakan dengan tidak meninggalkan tradisi turath Islami yang juga penting dalam memandu gerakan dan perjuangan.
“Selain tegas dalam melawan rasuah, menentang pemikiran takfiri serta perjuangan membasmi kemiskinan tegar, gerakan Islam juga harus kekal dengan adab, akhlak dan menghormati kebangsaan,”ujar beliau.
Sumber: FB Anwar Ibrahim




