Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berkaitan beberapa isu membabitkan kerugian yang dialami UiTM Holdings Sdn Bhd pada 2023.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan perkara itu dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, SPRM berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas serta adil.
“Siasatan ini merangkumi pelbagai isu termasuk pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang di mana sejumlah RM42 juta dilaporkan telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD),”ujar beliau.
SPRM berkata, siasatan masih berjalan berikutan kompleksiti kes yang membabitkan aspek teknikal selain masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.
“Selain itu, bagi melengkapkan lagi proses penyiasatan, SPRM juga akan meneliti sekiranya terdapat isu-isu lain yang relevan termasuk kelemahan tatakelola sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, SPRM menyambut baik keprihatinan serta ketegasan Perdana Menteri dalam usaha melihat dan menyelesaikan kelemahan yang menjadi faktor kerugian ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd.
Sumber: Buletin TV3 (Ilah Hafiz Aziz)




