Lelaki maut akibat rabies di Kedah, kes pertama selepas 28 tahun

Lelaki maut akibat rabies di Kedah, kes pertama selepas 28 tahun

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu meninggal dunia hari ini selepas disahkan dijangkiti rabies.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dalam kenyataan memaklumkan, lelaki terbabit mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada Ogos lalu dan mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan selepas kejadian, namun tidak menerima profilaksis pascapendedahan (PEP) rabies.

Menurut kenyataan itu, lelaki terbabit mula mengalami kelesuan, kelemahan dan kebas pada anggota atas kanan badan pada 18 September lalu, sebelum mengalami kesukaran menelan, hidrofobia, aerofobia, keresahan serta perubahan tingkah laku pada 22 September.

“Pada 23 September 2026, dia mendapatkan rawatan semula dan seterusnya dirujuk untuk rawatan lanjut sebelum dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).

“Sampel klinikal diambil pada 24 September dan keputusan ujian makmal pada 26 September mengesahkan jangkitan rabies,” menurut kenyataan itu.

Menurut JKN, kes berkenaan adalah kes pertama rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Kedah sejak 1998.

Katanya, sehingga Ogos lalu, 502 kes gigitan dan cakaran haiwan dilaporkan di negeri itu, dengan 65.3 peratus membabitkan anjing, kucing (23.1 peratus) dan haiwan lain (11.6 peratus).

“Daripada jumlah itu, 56.2 peratus membabitkan haiwan peliharaan, manakala 43.8 peratus membabitkan haiwan terbiar.

“Susulan kes itu, JKN Kedah bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah (JPVK) dan pihak berkuasa berkaitan melaksanakan tindakan kawalan termasuk pengesanan kes secara aktif, pendidikan kesihatan, pengukuhan survelan kes gigitan haiwan serta penilaian risiko dan tindakan kawalan terhadap haiwan terbiar,” katanya.

Kenyataan itu berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama JKN Kedah dan agensi berkaitan turut menjalankan siasatan epidemiologi bagi mengenal pasti sumber jangkitan dan laluan pendedahan, termasuk sejarah perjalanan, pendedahan, kontak dan faktor risiko.

JKN Kedah turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mendekati, menyentuh atau memberi makan kepada haiwan terbiar serta memastikan anjing dan kucing peliharaan menerima vaksinasi anti-rabies mengikut nasihat JPVK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top