Bera: Lelaki maut selepas jengkaut dipandunya terbalik ketika menjalankan kerja pembersihan di Tasik Bera, di sini, hari ini.
Mangsa, Alief Daniel Haqim Abdullah, 26, ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dikeluarkan dari dalam jengkaut oleh pasukan bomba pada 4.10 petang.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 2.11 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang tiba di lokasi pada 2.56 petang.
“Komander operasi mendapati terdapat jengkaut terbalik di Tasik Bera ketika kerja pembersihan tasik dijalankan. Seorang mangsa (Muhammad Aiman Fikri Mohd Azaha, 28) berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi dipercayai terperangkap dalam jengkaut.
“Operasi mencari dan menyelamat dilaksana menggunakan bot,” katanya hari ini.
Mohd Salahuddin berkata, mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira 4.10 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke daratan sebelum disahkan meninggal dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




