Kuala Lumpur : Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengukuhkan kedudukannya sebagai pelopor industri kreatif negara apabila mendominasi senarai calon lima teratas (Top 5) Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA 2026) dengan meraih 114 pencalonan daripada 53 kategori.
Pencapaian pada edisi ke-37 bertemakan “Segalanya Bermula Di Sini” itu merangkumi penguasaan dalam 35 kategori televisyen (TV), 16 kategori radio, dan dua kategori media baharu.
Bagi pencalonan Kategori TV, RTM mendominasi kategori Pengulas TV Terbaik dengan menguasai kelima-lima tempat menerusi Aizuddin Nizam Shah (Kejohanan Bola Sepak Piala Sultan Selangor 2025), Edlynna Hanie Abu Hamid (Istiadat Pertabalan YDP Agong Ke-17) dan Mohd Firdaus Musa (Final Piala FA Malaysia 2024/2025).
Turut tersenarai Ismail Adnan yang menerima dua pencalonan (Istiadat Menghadap & Pengurniaan Darjah Kebesaran 2024 dan Siaran Langsung Istiadat Pengebumian Negara Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi).
Kategori Liputan Khas Siaran Langsung Terbaik turut menyaksikan Mohd Rafael Ramlan tercalon bagi dua acara (Siaran Langsung Demonstrasi Maritim LIMA 2025 dan Sambutan Hari Kebangsaan 2024), Nur Ashidah Abdul Hamid (SUKMA Sarawak 2024), Abdul Hadi Abdul Rahim (Tilawah & Menghafaz Al-Quran Antarabangsa 2024) serta Mohd Faiz Shauqi Md Roziki (Istiadat Pengebumian Negara Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi).
Manakala kategori Pengacara TV Terbaik mencatatkan empat pencalonan menerusi Andy Reza Rohadian Khairul Anwar, Dr. Mohd Efirno Johari, Nabila Huda (Masak Sana Sini New York), dan Sayed Munawar Sayed Mohamad Mustar.Beberapa personaliti RTM turut tersenarai dalam pelbagai kategori, antaranya Mohammed Shahril Sarapudin (Bicarawara TV Terbaik, Penyampai Berita TV Terbaik, Rancangan Agama TV Terbaik bersama Nuraishah Mohd Yusof, dan Grafik TV Terbaik).
Tidak ketinggalan Razliza Abdul Razak, serta Andy Reza Rohadian yang turut menjadi wakil tunggal RTM bagi kategori Wartawan TV Terbaik.
Bagi Kategori Drama TV Terbaik, karya arahan Danny Alamsyah Adriansyah terbitan Unit Drama TV RTM, Selampai Labung (TV1) mendahului persaingan, di samping persaingan sengit pelbagai drama terbitan swasta menerusi kategori drama bersiri, pengarah, dan pelakon.
Di peringkat Kategori Radio, 39 calon RTM bertanding dalam 16 kategori antara yang menjadi tumpuan ialah skrip drama radio Hujan Teduh (NASIONAL fm) dan pelakon Fadilah Mansor, serta Melur Di Hujung Muara (Radio Klasik) yang menampilkan Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan Akmal Ahmad.
Kategori Penyampai Radio Wanita Terbaik pula diwakili Nik Nur Syuhada’ Balqis Juhali (Johor fm), Nurul Hidayah MD Nawai (NASIONAL fm), dan Nurul Nadiah Ahmad Mamabarak (Radio Klasik).Kategori Media Baharu menyaksikan saingan Budi Tak Pernah Mati (Facebook RTM) dan Ryan Raya (PERLIS fm) bagi kategori Drama/Drama Bersiri/Drama Mikro Terbaik, manakala Gema Anak Rantau (RTM Klik) dan Rehlah Haramain: Al’Ula (YouTube RTM) tercalon untuk Video Pendek Terbaik.
ASA 2026 mempertandingkan 60 kategori keseluruhan merangkumi 40 kategori TV, 17 kategori Radio, dan tiga kategori Media Baharu, di samping dua anugerah khas iaitu Anugerah Khas Juri dan Tokoh Seri Angkasa.
Malam kemuncak ASA 2026 dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) jam 9 malam pada 24 Oktober depan dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dan platform RTMKlik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




