kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 September 2026, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.
Pengagihan pendapatan berjumlah RM1.01 bilion itu akan memanfaatkan 818,137 pemegang unit yang memiliki 20.97 bilion unit ASM 3.
ASNB dalam kenyataan hari ini berkata, kadar pengagihan berkenaan meningkat berbanding 4.75 sen seunit pada tahun sebelumnya, mencerminkan daya tahan dana itu dalam persekitaran pelaburan global yang mencabar.
Menurutnya, ASM 3 turut mengatasi penanda arasnya iaitu kadar deposit tetap 12 bulan Maybank sebanyak 1.99 peratus, dengan lebihan prestasi 301 mata asas.
“Sehingga 23 September 2026, dana ini merekodkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM1.23 bilion, disokong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin, pengurusan risiko berhemat serta penempatan pelaburan secara terpilih dalam sektor yang mempunyai potensi pertumbuhan struktur yang kukuh,” katanya.
ASNB berkata, prestasi itu dicapai ketika pasaran global terus berdepan ketidaktentuan kadar faedah, peningkatan ketegangan geopolitik serta turun naik pasaran yang berterusan.
Katanya, pendapatan dana disokong oleh keuntungan direalisasikan, pendapatan dividen serta sumber pendapatan lain daripada portfolio pelaburan yang pelbagai merangkumi pasaran domestik dan antarabangsa.
Pada masa sama, peruntukan aset merentasi instrumen pendapatan tetap, hartanah dan pelaburan persendirian turut menyumbang kepada kepelbagaian sumber pendapatan, sekali gus memperkukuh daya tahan portfolio dalam menghadapi perubahan pasaran.
Selain itu, bagi pemegang unit yang memilih kaedah pembayaran Zakat Khultah (Kelas B), kadar pengagihan lima peratus yang diisytiharkan akan menghasilkan anggaran kadar dividen bersih sebanyak 4.87 peratus selepas potongan zakat sebanyak 2.57 peratus.
Kaedah itu membolehkan pemegang unit menunaikan kewajipan zakat secara automatik, di samping menyokong kemampanan pelaburan jangka panjang.
Sementara itu, ASNB meneruskan kempen Unlock ASM 3 sehingga 31 Disember 2026 yang menawarkan akses eksklusif kepada pelabur baharu untuk melabur dalam dana berkenaan menerusi aplikasi myASNB.
Pelabur yang layak dan berjaya melengkapkan proses pengesahan pelanggan secara elektronik (e-KYC) serta membuat pelaburan pertama menggunakan kod promosi UNLOCK2 berpeluang menikmati peruntukan kuota khas sehingga RM10,000, tertakluk kepada ketersediaan unit berdasarkan prinsip siapa cepat, dia dapat.
ASNB turut menawarkan Pakej Penyelesaian Perancangan Kewangan (FPSP) 2026 yang menggabungkan dana harga tetap dan harga berubah bagi membantu pelabur mempelbagaikan portfolio mengikut matlamat kewangan masing-masing.
Menerusi pakej itu, pelabur boleh memperoleh akses kepada peruntukan sehingga 40 peratus dalam ASM, dilengkapi dana harga berubah ASNB terpilih bagi mengimbangi kestabilan dan potensi pertumbuhan pelaburan jangka panjang.
Dalam pada itu, pengiraan pengagihan pendapatan ASM 3 adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan, dengan pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Oktober ini.
Urus niaga ASM 3 di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk saluran dalam talian serta perbankan internet ditangguhkan sementara mulai 27 hingga 30 September bagi membolehkan proses pengiraan pengagihan pendapatan dilaksanakan.
Pemegang unit boleh meneruskan urus niaga menerusi portal dan aplikasi myASNB atau di mana-mana cawangan serta ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Oktober 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




