Tun Dr. Siti Hasmah tokoh wanita disegani – Hannah Yeoh

Tun Dr. Siti Hasmah tokoh wanita disegani – Hannah Yeoh

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyifatkan Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai tokoh wanita yang sukar dicari ganti.

Beliau berkata, Allahyarham tidak perlu bersuara lantang untuk menyampaikan mesej kerana setiap kata-katanya sentiasa mendapat perhatian ramai.

“Susah untuk kita cari seorang tokoh wanita seperti Tun Dr. Siti Hasmah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Beliau tidak perlu kuat bersuara, tetapi mesej beliau setiap kali beliau buka mulut, semua orang akan mendengar,” katanya ketika ditemui di perkarangan Tanah Perkuburan Islam Presint 20, di sini hari ini.

Hannah berkata, Allahyarham juga sentiasa tenang, rendah diri dan memberikan sokongan kepada suaminya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, termasuk ketika kembali menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Menurutnya, Allahyarham turut menekankan kepentingan pendidikan dan menjadi contoh kepada golongan wanita untuk mendapatkan pendidikan sebagai platform lebih luas bagi bekerja serta membantu orang lain.

Mengimbas kenangan bersama Allahyarham, Hannah berkata beliau seorang yang lembut, baik hati dan sentiasa membuatkan orang di sisinya berasa tenang.

“Beliau selalu akan bertanya, ‘oh, apa khabar?’ Tetapi bezanya, beliau akan mendengar jawapan.

“Selalunya orang bertanya, ‘apa khabar?’ tetapi tidak berminat untuk dengar jawapan, tetapi Tun Dr. Siti Hasmah sangat berminat untuk mendengar jawapan,” katanya.

Terdahulu, Dr. Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.20 pagi tadi.

Pemergian Allahyarhamah disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.-UTUSAN

Scroll to Top