PUTRAJAYA – Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali menyatakan kepada anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan mereka semua, sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Mukhriz berkata, beliau sempat bersama ibunya pada malam sebelum Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Menurutnya, walaupun berada di IJN kerana masalah kesihatan, Tun Dr Hasmah ketika itu berada dalam keadaan ceria.
“Waktu itu dia sudah pun berada di IJN atas sakit yang lain sebenarnya tetapi moodnya sangat ceria walaupun begitu dia ada beritahu saya yang dia dah bersedia untuk meninggalkan kita semua.
“Jadi nampaknya dia dah bertawakal,” katanya ketika ditemui selepas istiadat pengebumian Tun Dr Hasmah di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20, di sini pada Isnin.
Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, pada pagi Isnin, beliau menerima makluman daripada pihak hospital bahawa ibunya mengalami masalah jantung sebelum bergegas ke IJN.
“Pihak pakar di IJN pada waktu itu tengah melakukan prosedur pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) ke atas Dr Hasmah dan kemudian dipindah ke Unit Rawatan Koronari (CCU).
“Pada jam 9 pagi kami dimaklumkan bahawa CPR yang telah dijalankan itu hanya akan dibuat selama 15 minit lagi dan kalau jantung tak terus berfungsi maka tindakan CPR itu akan dihentikan,” katanya.
Beliau berkata, keluarga ketika itu sudah memahami maksud penjelasan doktor berkenaan sebelum Tun Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir.
Dalam pada itu, Mukhriz turut berkongsi momen menyentuh hati apabila ibunya masih memikirkan masa depan rakyat dan negara sehingga ke saat-saat akhir.
“Sampai ke saat-saat akhir dia masih lagi memikirkan soal masa depan kita,” katanya.
Menurut Mukhriz, beliau menganggap dirinya sebagai antara anak yang bertuah kerana sehingga usia 62 tahun, masih mempunyai ibu dan bapa.
“Saya anggap itu satu tuah yang sangat-sangat bermakna bukan hanya pada keluarga kami, insya-ALLAH juga bagi negara kerana Tun Dr Hasmah sebenarnya seorang yang sentiasa utamakan khidmat bagi rakyat dan bagi negara,” katanya.



