Semalam ibu ceria, tidak sangka perubahan mendadak pagi tadi – Mokhzani

Semalam ibu ceria, tidak sangka perubahan mendadak pagi tadi – Mokhzani

PUTRAJAYA: Keluarga Allahyarham Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali terkesan dengan pemergian beliau selepas masih bersama Allahyarham di Institut Jantung Negara (IJN) semalam dalam keadaan ceria dan mesra.

Ahli Perniagaan dan juga anak kedua Allahyarham, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, perubahan keadaan ibunya berlaku secara mendadak pagi tadi sebelum meninggal dunia.

“Kami memang terkejut pagi tadi kerana semalam keluarga berada bersama Allahyarham di IJN dan beliau begitu ceria serta mesra.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, pagi tadi berlaku perbezaan besar dan malangnya tidak dapat dipulihkan dan beliau telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui selepas selesai urusan pengebumian Allahyarham di sini, hari ini.

Mokhzani turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu memastikan urusan pengebumian ibunya berjalan lancar.

Katanya, penghargaan itu khusus kepada anggota tentera, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Putrajaya yang membantu melancarkan urusan berkenaan.

“Alhamdulillah, semuanya telah diselesaikan dengan selamat dan saya berterima kasih kepada semua yang dapat datang ke majlis ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pegawai tentera, PDRM dan Putrajaya di sini yang memastikan pengebumian ini berjalan dengan begitu lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata, kelancaran urusan itu turut memberi peluang kepada keluarga dan rakan-rakan untuk menziarahi Allahyarham sejak pagi.

Ditanya mengenai kenangan terakhir bersama ibunya, beliau berkata, tiada satu kenangan khusus kerana keluarga mempunyai terlalu banyak kenangan bersama Allahyarham.

“Bukan satu kenangan terakhir, ada berjuta-juta kenangan. Saya sangat gembira kerana kami mempunyai banyak masa untuk berkongsi dengan dia.

“Kami mempunyai banyak perjumpaan keluarga dalam beberapa bulan, minggu dan hari terakhir,” katanya.

Mokhzani berkata, keluarga akan mengadakan majlis tahlil di rumah selepas solat Isyak malam ini.

Katanya, majlis tahlil turut dirancang untuk diadakan esok dan pada hari ketiga.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan kesihatan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau berkata, bapanya berada dalam keadaan baik.

“Okey, tetapi tentu saja hari ini adalah suatu hari yang sangat luar biasa buat dirinya,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top