Shahrol Shiro hanya pengajar sambilan, kendali latihan amali ‘stand-up comedy’ – UKM

Shahrol Shiro hanya pengajar sambilan, kendali latihan amali ‘stand-up comedy’ – UKM

Pelawak dan penggiat seni, Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, dilantik sebagai pengajar sambilan Kursus Citra Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi Kelas Seni Lakon yang mengkhususkan kepada ‘stand-up comedy’.

UKM menjelaskan, pelantikan itu hanya melibatkan latihan amali dan praktikal tanpa pengajaran dalam kuliah, berdasarkan pengalaman Shahrol sebagai pengamal industri seni dalam bidang lakonan, persembahan, komedi, pengacaraan dan produksi.

“Shahrol Shiro dilantik sebagai pengajar sambilan Kursus Citra Universiti bagi Kelas Seni Lakon yang mengkhususkan kepada ‘stand-up comedy’ di UKM.
“Kursus Citra UKM (Seni Lakon) adalah kursus di bawah Citra Kebudayaan yang ditawarkan kepada pelajar bagi memberikan pendedahan dan pengalaman dalam bidang seni persembahan, khususnya aspek asas lakonan serta persembahan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Shahrol, 42, berkongsi mengenai pelantikannya sebagai tenaga pengajar di universiti berkenaan bagi Semester I sesi 2026/2027.

Pelantikan itu bagaimanapun mengundang persoalan dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat di media sosial, termasuk menerusi Threads apabila seorang pengguna meminta penjelasan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berhubung kelayakan serta rasional pelantikan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, UKM turut mengesahkan pelantikan Shahrol sebagai tenaga pengajar sambilan Citra Universiti di Fakulti Pengajian Sains Citra (FPSC).

FPSC merupakan fakulti yang mengkhususkan kepada pengajian transdisiplin, pengajian umum termasuk kursus kebudayaan, sukan dan badan beruniform.

Sumber: FB Universiti Kebangsaan Malaysia – UKM

Scroll to Top