KOPERASI Kakitangan Bank Rakyat Berhad (Sektarakyat) terus memperkukuh perkhidmatannya menerusi pembukaan Ar-Rahnu X’Change di Bandar Country Homes, Rawang menjadikan jumlah keseluruhan rangkaiannya itu kini sebanyak 18 cawangan.
Sekatarakyat berkata, pembukaan cawangan baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha koperasi berkenaan memperluaskan akses masyarakat kepada perkhidmatan Pajak Gadai-i yang mudah, selamat dan patuh syariah.
“Pembukaan cawangan ke-18 ini turut mencerminkan komitmen Sekatarakyat dalam memperkukuh perniagaan Ar-Rahnu sebagai salah satu segmen utama koperasi.
“Di samping memperluaskan rangkaian perkhidmatan agar dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, kehadiran Ar-Rahnu X’Change di kawasan berkenaan memberi peluang kepada masyarakat setempat dan kawasan sekitarnya mendapatkan kemudahan pembiayaan berasaskan emas bagi memenuhi pelbagai keperluan kewangan.
“Pemilihan bandar tersebut sebagai lokasi cawangan baharu dibuat berdasarkan kedudukannya yang strategik serta perkembangan kawasan sekitar yang semakin pesat,” ujarnya.
Sekatarakyat berkata, perkembangan berkenaan selaras dengan aspirasinya untuk terus menyediakan perkhidmatan yang relevan dan responsif terhadap keperluan kewangan masyarakat.
Dalam masa sama, koperasi itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh rangkaian Ar-Rahnu X’Change serta meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada strategi pertumbuhan koperasi dalam memastikan perkhidmatan Ar-Rahnu X’Change kekal kompetitif, mudah diakses dan mampu memenuhi keperluan pelanggan secara berterusan,” katanya.



