Kalah atau menang, Tun Dr Hasmah sentiasa ada – Chong Wei

Kalah atau menang, Tun Dr Hasmah sentiasa ada – Chong Wei

KALAH atau menang, sokongan dan kasih sayang Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali terhadap skuad badminton negara tidak pernah putus, malah kehadirannya sentiasa dirasakan sepanjang hampir dua dekad karier Datuk Seri Lee Chong Wei.

Bagi bekas pemain perseorangan lelaki negara itu, Dr Hasmah bukan sekadar penaung atau isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya insan yang sentiasa ada di sisi pemain ketika mereka menikmati kemenangan mahupun berdepan kekecewaan.

“Dalam tempoh hampir 20 tahun karier badminton saya, dari budak hingusan yang baru masuk skuad kebangsaan hinggalah bertanding di pentas dunia, Tun sentiasa ada.

“Kalah atau menang, sokongan dan kasih sayang Tun tak pernah putus,” katanya pada Isnin di laman media sosialnya.

Chong Wei berkata, pemergian Dr Hasmah turut mengimbau kembali perbualan terakhir mereka ketika Terbuka Malaysia awal tahun ini, apabila Allahyarham begitu bersemangat untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pemain negara.

“Tun semangat sangat kata nak datang stadium bagi sokongan pada pemain-pemain kita. Semangat dan cinta Tun pada badminton langsung tak pernah pudar.

“Tak sangka betul, itu rupanya kali terakhir kita berbual,” katanya.

Menurut Chong Wei, Dr Hasmah mempunyai tempat istimewa dalam kalangan pemain negara kerana layanan dan kasih sayangnya membuatkan mereka menganggap Allahyarham seperti seorang ibu sendiri.

Malah, katanya, kehadiran Dr Hasmah bukan sekadar di sisi pasukan ketika kejohanan, tetapi turut dirasakan ketika pemain melalui detik sukar dan berdepan perbezaan faham dalam pasukan.

“Tun layan kami semua macam anak sendiri. Bila ada perselisihan faham dalam pasukan, Tun jugalah yang mendamaikan dengan kelembutan dan kebijaksanaan.

“Kasih sayang Tun yang menyatukan kami, jadi benteng paling teguh untuk badminton Malaysia,” katanya.

Kenangan Dr Hasmah bersama skuad negara turut tidak dapat dipisahkan daripada kejayaan bersejarah Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992.

Chong Wei berkata, pemain-pemain senior sering berkongsi kisah bagaimana Allahyarham setia berada di sisi pasukan sebagai penaung, selain begitu tersentuh setiap kali kejayaan itu dikenang.

“Pemain-pemain senior selalu cerita kisah kenangan manis kita juara Piala Thomas 1992. Tun setia di sisi pasukan sebagai penaung dan setiap kali cerita pasal kejayaan itu, mesti bertakung air mata Tun,” katanya.

Bagi Chong Wei, kecintaan Dr Hasmah terhadap badminton juga begitu istimewa kerana Allahyarham bukan sekadar menyokong dari luar gelanggang, malah turut mengamalkan sukan itu sendiri sehingga usia 75 tahun.

Katanya, minat dan kesetiaan berterusan Dr Hasmah terhadap badminton menjadi inspirasi kepada dirinya serta seluruh warga sukan berkenaan.

“Tun sendiri main badminton sampai umur 75 tahun. Minat dan kesetiaan Tun pada sukan ini betul-betul memberi inspirasi pada saya dan kami semua,” katanya.

Chong Wei berkata, bagi masyarakat umum, Dr Hasmah mungkin lebih dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, namun bagi keluarga besar badminton negara, Allahyarham mempunyai kedudukan yang jauh lebih istimewa.

“Bagi orang luar, Tun adalah isteri bekas Perdana Menteri. Tapi bagi saya dan seluruh skuad badminton negara, Tun adalah seorang pahlawan, insan yang paling kami hormati dan tempat kami menumpang kasih,” katanya.

Chong Wei merakamkan penghargaan atas segala jasa, kasih sayang dan kekuatan yang dicurahkan Dr Hasmah sepanjang berada dekat dengan skuad badminton negara.

“Tun, terima kasih atas segala-galanya untuk badminton Malaysia. Terima kasih atas kasih sayang dan kekuatan yang Tun curahkan pada saya selama ini.

“Senyuman dan kehangatan kasih Tun akan sentiasa hidup di dalam gelanggang dan di hati seluruh rakyat Malaysia.

“Berehatlah dengan tenang, Tun. Kami akan sentiasa merindui Tun,” katanya.

 

Dr Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun.

Scroll to Top