nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali adalah seorang ibu yang menyantuni sesiapa sahaja dengan penuh kasih.
Anwar dalam hantaran di akaun Threads miliknya, memaklumkan beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Dr Hasmah.
“Kak Hasmah adalah sosok ibu yang kelembutan dan kasihnya akan sentiasa kami kenang selain sebagai seorang sahabat serta rakan karib di tahun-tahun lampau.
“Tentunya sukar untuk kami berdua menghadam hakikat ini bahawa beliau kini sudah pergi, lebih-lebih lagi apabila setiap babak indah yang dikongsi bersama kembali terpancar di depan mata hati yang terdalam.
“Justeru, negara akan terus mengenang jasa dan curah bakti Kak Hasmah. Dalam ingatan ramai, beliau adalah seorang ibu yang menyantuni sesiapa sahaja dengan penuh kasih, malah berupaya membuatkan setiap mereka berasa dekat dan dihargai,” tulisnya.
Beliau dan isteri turut mendoakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus kuat dengan ujian dihadapi serta terus dikurniakan kesihatan dan sentiasa dipayungi kasih sayang keluarga.
“Semoga Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal bakti dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
“Terima kasih juga Kak Hasmah atas setiap budimu kepada kami, dan pastinya doa serta ingatan kami mengiringi pemergianmu. Al-Fatihah,” katanya.
Terdahulu, Anwar mengumumkan Dr Siti Hasmah akan diberikan penghormatan istiadat pengebumian negara susulan kematiannya di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman membantu urusan pengebumian di Pusara Negara, Putrajaya.
Sebelum ini, Anwar turut menzahirkan penghormatan kepada Dr Hasmah dengan menyifatkan khidmat dan baktinya kepada negara khususnya kerja kebajikan serta keprihatinannya terhadap kesejahteraan rakyat yang akan sentiasa dikenang.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di IJN pada usia 100 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




