Rades: Prestasi buruk Tunisia berterusan apabila mereka terikat 2-2 dengan Botswana dalam aksi Kumpulan H kelayakan Piala Negara-Negara Afrika di Rades, awal pagi tadi, sekali gus melanjutkan rekod tanpa kemenangan kepada lapan perlawanan.
Ia keputusan seri kedua berturut-turut buat pasukan Afrika Utara itu pada permulaan kempen kelayakan benua selepas mereka terikat 1-1 dengan Uganda di laman sendiri pada Khamis lalu.
Botswana menerajui kumpulan dengan dua mata daripada dua perlawanan, jumlah sama seperti Tunisia, manakala Libya dan Uganda masing-masing mengumpul satu mata. Kedua-dua pasukan itu akan bertemu di Hoima, esok.
Thatayaone Kgamanyane meletakkan Botswana di depan pada minit ke-37, namun dua jaringan Hazem Mastouri sebelum dan selepas rehat mengubah kedudukan memihak kepada tuan rumah.
Bagaimanapun, Tunisia dinafikan kemenangan apabila Lebogang Ditsele menyamakan kedudukan buat Botswana pada minit ke-60, sekali gus menyebabkan penyokong tuan rumah yang hadir dalam jumlah kecil sekali lagi pulang dengan kecewa.
Yoane Wissa menjaringkan gol ketika Republik Demokratik Congo (DR Congo) menewaskan Zimbabwe 2-1 di Harare untuk menduduki tangga teratas Kumpulan E dengan enam mata.
Wissa membuka jaringan sebelum membantu jaringan Samuel Moutoussamy pada penghujung babak pertama. Marshall Munetsi menjaringkan gol ketiganya dalam dua perlawanan buat tuan rumah pada penghujung aksi, namun DR Congo bertahan untuk memastikan kemenangan.
Dalam satu lagi aksi kumpulan itu, Equatorial Guinea menewaskan Sierra Leone 1-0 hasil jaringan penyerang kelahiran Sepanyol, Loren Zuniga, pada minit pertama di Yaounde yang menjadi venue berkecuali.
DR Congo menerajui Kumpulan E dengan enam mata daripada dua perlawanan, diikuti Zimbabwe dan Equatorial Guinea dengan tiga mata, manakala Sierra Leone masih belum mengutip mata.
Burkina Faso pula menduduki tangga teratas Kumpulan F selepas menewaskan Republik Afrika Tengah 1-0 di Casablanca yang menjadi venue berkecuali.
Pemain remaja RB Salzburg, Aboubacar Camara, menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-60 dalam penampilan keduanya bersama skuad senior kebangsaan.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir 24 pasukan Piala Negara-Negara Afrika yang akan berlangsung di Kenya, Uganda dan Tanzania dari 19 Jun hingga 17 Julai tahun depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




