Putrajaya: Tindakan pantas dan keberanian tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berjaya mengawal kebakaran di Menara Seri Wilayah di sini, mendapat pengiktirafan tertinggi pihak pengurusan agensi berkenaan.
Atas jasa itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Yang Amat Setia Pesuruhjaya Ghazali Abd Rahman menyampaikan Sijil Penghargaan APM kepada tiga wira itu dalam satu sesi perjumpaan di Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA) Wilayah Persekutuan, di sini, semalam.
Penerima penghargaan itu adalah Kapten Mohammad Rizal Abd Razak, Leftenan Hazwan Abdul Ghani, Staf Kanan Zainuri Yusof.
Menurut Ghazali, tindakan awal diambil oleh ketiga-tiga anggota APM terbabit bukan sahaja berjaya menyekat api daripada terus merebak, malah menyelamatkan nyawa serta harta benda dalam insiden yang berlaku Jumaat lalu.
Dalam kejadian 8 pagi itu, bahagian dapur di Cafe Menara Seri Wilayah, Presint 2, Putrajaya terbakar hingga mengeluarkan asap tebal.
Kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Dalam majlis pengiktirafan itu, Ghazali turut menzahirkan rasa bangga dan menyampaikan ucapan penghargaan kepada seluruh warga kerja APM Wilayah Persekutuan atas komitmen serta kesiapsiagaan tinggi yang ditunjukkan.
“Diharapkan penganugerahan ini dapat memberi suntikan semangat buat seluruh warga APM untuk terus memberikan khidmat bakti yang terbaik dan cemerlang demi masyarakat serta negara,” katanya.
Sesi perjumpaan itu turut dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi APM Wilayah Persekutuan termasuk Pengarah, Kolonel Mohd Rosman Abdullah; Timbalan Pengarah, Mejar Nur Azmiani Ambatang; serta barisan pegawai kanan dan anggota agensi berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




