Bekas pegawai tinggi ditahan SPRM isu kerugian UiTM Holdings

Bekas pegawai tinggi ditahan SPRM isu kerugian UiTM Holdings

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pegawai pengurusan tertinggi sebuah perbadanan semalam, kerana disyaki menyalahgunakan kedudukannya berkaitan pembayaran perbelanjaan operasi bernilai kira-kira RM42 juta.

Tangkapan itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan berterusan SPRM terhadap isu kerugian jutaan ringgit yang dialami oleh UiTM Holdings Sdn Bhd (UiTM Holdings) pada 2023.

Lelaki yang berusia 50-an itu dilaporkan ditahan jam 1 tengah hari, di kediamannya di sekitar Lembah Klang.

Menurut siasatan awal, bekas pegawai tertinggi terbabit dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2017 dengan meluluskan atau membuat pembayaran bagi tujuan perbelanjaan operasi kepada beberapa buah syarikat.

Lebih mengejutkan, siasatan mendapati, lelaki itu disyaki mempunyai kepentingan peribadi secara langsung di dalam syarikat-syarikat yang menerima dana jutaan ringgit berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 atas kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

“Suspek dijangka akan dihadapkan ke mahkamah untuk proses pertuduhan pada Khamis ini (1 Oktober),” katanya.

Untuk rekod, pada awal 2023, UiTM Holdings adalah syarikat pelaburan milik penuh Universiti Teknologi MARA (UiTM), menjadi tumpuan umum susulan pendedahan dan laporan mengenai kerugian besar yang dialami oleh syarikat berkenaan.

Laporan pada ketika itu mendakwa, anak syarikat universiti awam merekodkan kerugian terkumpul berjumlah jutaan ringgit bagi tempoh empat tahun berturut-turut, yang mengundang kebimbangan pelbagai pihak berkaitan tata kelola dan pengurusan dana pelaburan Bumiputera.

Susulan pendedahan itu, SPRM memulakan siasatan komprehensif bagi meneliti pelbagai dokumen kewangan, transaksi pelaburan, serta profil syarikat berkenaan bagi mengenal pasti sebarang elemen ketirisan, penyelewengan, atau salah guna kuasa oleh pengurusan tertingginya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top