Lebih 450 kru terbabit MV Salam Kaut Kak Ani

Lebih 450 kru terbabit MV Salam Kaut Kak Ani

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris melakar sejarah tersendiri apabila menghimpunkan lebih 450 tenaga kerja bagi menjayakan pembikinan video muzik (MV) single terbaharunya berjudul Salam Kaut.

Naskhah ciptaan Hafiz Hamidun itu menampilkan pembabitan pelbagai generasi yang paling ramai pernah dikendalikannya, merangkumi 150 penari profesional, 200 peserta saringan dari seluruh negara, 50 warga gotong-royong dalam kalangan ibu bapa, serta 50 kru di sebalik tabir.

“Ini kali pertama saya menghasilkan video muzik yang membabitkan pelbagai generasi, bermula daripada kanak-kanak berusia lima tahun ke atas.

“Pembabitan ramai pihak ini selari dengan semangat Salam Kaut yang membawa mesej mengenai adat, kebersamaan dan nilai masyarakat kita,” kata Noraniza atau mesra disapa Kak Ani kepada Harian Metro.

Penggambaran video muzik selama sehari itu dijalankan di Perkampungan Hang Tuah, Melaka dengan kerjasama Pertubuhan Karya Seni Melaka (PERKASE) dan ETE Production, selepas peserta menjalani latihan tarian selama tiga hari serta raptai sehari sebelum penggambaran.

“Menariknya, pembikinan video muzik itu berjalan lancar dalam suasana kekeluargaan apabila peserta dari Pahang, Kuala Lumpur, Johor, Negeri Sembilan, Sarawak, Perak dan Kelantan hadir secara sukarela sambil membawa ‘potluck’ untuk beriadah bersama keluarga di lokasi,” katanya.

Dalam pada itu, Noraniza turut meneruskan promosi Salam Kaut menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan misi amal budaya Zapin Living Lab – Akar Kita Zapin 6.0 (AKZ6.0) Edisi Ke-4 di AEON Mall Kinta City, Ipoh pada 3 dan 4 Oktober ini.

Program dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak itu bakal diisi dengan Pertandingan Mewarna Warna Warni Warisan Perpaduan membabitkan 150 kanak-kanak Tabika Perpaduan serta Bengkel Zapin percuma untuk 240 peserta.

Kemuncak jelajah berkenaan bakal disusuli menerusi Festival Akar Kita Zapin 2026 Peringkat Kebangsaan di AEON Mall Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 30 Oktober hingga 1 November depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top