Kempen recurve Malaysia berakhir awal di Nagoya

Kempen recurve Malaysia berakhir awal di Nagoya

sukan@hmetro.com.my

Nagoya: Kempen Malaysia dalam acara recurve individu lelaki dan wanita pada Sukan Asia Aichi-Nagoya berakhir lebih awal selepas kesemua empat wakil negara terkandas dalam pusingan kalah mati, hari ini.

Dalam acara lelaki, Quik Chern Xin membuka saingan dengan menewaskan Emirbek Mashev dari Kyrgyzstan 6-2 pada pusingan 1/24, namun langkahnya terhenti di pusingan 1/16 selepas ditundukkan jaguh Korea Selatan, Kim Je-deok 6-0.

Je Deok, pemenang tiga pingat emas Olimpik nyata terlalu ampuh buat Chern Xin yang gagal mengutip sebarang mata dalam pertemuan berkenaan.

Evan Rich Chong Qi Wei yang terus bermula di pusingan 1/16 pula mencatat kemenangan tipis 6-5 ke atas wakil Vietnam, Nguyen Duy.

Namun, cabarannya berakhir di pusingan 1/8 apabila dia tewas 6-2 kepada pemenang pingat perak Olimpik dari Taiwan, Tang Chih-chun.

Dalam acara wanita, Joey Tan turut memulakan kempen dengan kemenangan apabila menundukkan Eliza Tynalieva dari Kyrgyzstan 6-0 pada pusingan 1/24.

Bagaimanapun, dia gagal meneruskan rentak itu apabila tewas 7-3 kepada wakil Taiwan, Li Tsai-chi pada pusingan 1/16.

Ariana Nur Damia Zairi yang mendapat bye ke pusingan 1/16 pula tidak dapat berbuat banyak apabila tewas 6-0 kepada wakil Indonesia, Diananda Choirunissa yang juga pemenang gangsa Piala Dunia.

Kegagalan empat pemanah itu bermakna Fatin Nurfatehah Mat Salleh kini menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang masih meneruskan cabaran dalam saingan memanah.

Fatin akan berdepan wakil Korea Selatan, Park Jung-yoon pada suku akhir acara compound individu wanita, Khamis ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top