Gesekan biola kenangan abadi

Gesekan biola kenangan abadi

Tanggal 28 September 2026, jam 9.20 pagi, suasana hiba menyelubungi seluruh pelosok tanah air apabila khabar duka disahkan dari Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Negara kehilangan seorang tokoh wanita yang amat dihormati dan disayangi, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Pemergian beliau bukan sahaja menyentuh hati rakyat secara umumnya, malah turut meninggalkan kesan mendalam serta rasa kehilangan dalam kalangan anak seni tempatan.

Masyarakat mengenali beliau bukan sahaja sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malah sebagai sosok yang sentiasa prihatin dan aktif turun padang menyertai pelbagai program kemanusiaan.

Namun, di sebalik personalitinya yang keibuan, lembut dan penuh kasih sayang, Dr Siti Hasmah juga memiliki bakat serta jiwa seni yang sangat besar.

Kemampuannya menguasai alat muzik terutama biola dan piano tidak boleh dipertikaikan sesiapa pun.

Pembabitan aktif Allahyarham dalam arena muzik tempatan menjadikan pemergian ini dianggap satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti.

Bagi saya dan ramai pencinta seni, pelbagai kenangan indah persembahan beliau akan terus segar dalam ingatan.

Antara kenangan yang paling melekat dalam ingatan saya adalah pada Ogos tahun lalu. Ketika itu, beliau hadir membuat penampilan istimewa dengan memainkan biola bagi mengiringi persembahan nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Persembahan itu berlangsung dalam Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia: Sounds of Malaysia di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.

Lagu nostalgik berjudul Gubahanku yang dipersembahkan mereka nyata memukau sesiapa sahaja yang mendengar.

Keserasian antara Dr Siti Hasmah dan Siti Nurhaliza dirasakan sangat sebati dan harmoni, seakan-akan meresap masuk ke dalam jiwa penonton menerusi setiap gesekan biola, seiring lantunan vokal merdu Biduanita Negara itu.

Ini bukanlah kali pertama Dr Siti Hasmah memukau khalayak menerusi bakat muziknya.

Mengimbas kembali pada 2018, beliau pernah membuat penampilan istimewa dalam acara pentas gergasi, Konsert Duo Lagenda yang menampilkan dua bintang, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk M Nasir di Istana Budaya.

Di pentas itu, tiga lagu dipersembahkan iaitu Fatwa Pujangga secara solo, manakala Engkau Laksana Bulan serta Gubahanku dimainkan bersama Jamal dan M Nasir.

Alunan muzik daripada jemari beliau menerima tepukan gemuruh serta standing ovation daripada seluruh penonton yang hadir.

Bukan sekadar bersama artis senior, Allahyarham juga sangat terbuka dan mesra apabila menyantuni artis generasi baharu.

Pada 2023, beliau sempat meluangkan masa bersama penyanyi muda seperti Haziq Rosebi dan Aina Abdul.

Mereka bertiga sempat jamming secara santai memper sembahkan lagu popular Lemak Manis apabila Siti Hasmah sendiri mengiringi nyanyian mereka dengan memainkan piano.

Sifatnya yang rendah diri dan menyokong bakat muda sentiasa menyentuh hati penggiat seni.

Malah, di penghujung hayatnya baru-baru ini, iaitu pada 21 September lalu, Allahyarham bersama Dr Mahathir masih sempat meluangkan masa menyantuni anak seni yang berhajat meraikan majlis ulang tahun kelahiran mereka berdua.

Walaupun tubuhnya tidak lagi sekuat dulu, Siti Hasmah tetap menggagahkan diri dan menghadiahkan sebuah persembahan gesekan biola yang merdu bagi menghiburkan semua anak seni yang hadir pada majlis berkenaan.

Jika mahu diceritakan mengenai sumbangan Allahyarham kepada dunia seni tempatan, sememangnya terlalu banyak untuk disenaraikan.

Beliau adalah penaung kepada pelbagai badan muzik penting termasuk Malaysian Youth Orchestra Foundation (MYOF) dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO).

Beliau bukan sahaja menjadi penaung di atas kertas, tetapi seorang penaung yang benar-benar menjiwai, menyokong dan menyemarakkan industri muzik negara.

Pemergian Tun Hasmah sememangnya satu kehilangan yang cukup besar buat Malaysia.

Kita bukan sekadar kehilangan seorang tokoh negarawan, tetapi turut kehilangan seorang individu yang dihormati umpama ibu dan nenek tempat kita menumpang kasih.

Gesekan biolanya kini sudah sepi namun melodinya akan terus bergema dalam lipatan sejarah seni tanah air.

Semoga roh Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan kekasih Allah. Al-Fatihah.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top