Ikan lumba -lumba guna teknik baharu cari makanan

Ikan lumba -lumba guna teknik baharu cari makanan

Sydney: Seekor lumba-lumba di Australia dikesan menggunakan taktik luar biasa untuk mendapatkan makanan dengan cara mengejar ikan sehingga muntah sebelum memakan muntah haiwan berkenaan.

India Today melaporkan, lumba-lumba bottlenose yang diberi nama penduduk tempatan sebagai Bubbles, pertama kali dilaporkan menunjukkan tingkah laku berkenaan pada 2017 berhampiran Pulau Lady Elliot di selatan Great Barrier Reef.

Penyelidik kemudian mendapati Bubbles berulang kali mengejar ikan bigeye trevally sehingga mangsanya memuntahkan makanan yang baru dimakan.

Penemuan yang diterbitkan bulan ini dalam jurnal Ecology and Evolution itu dianggap antara bukti pertama yang didokumentasikan dengan baik mengenai kleptoparasitisme atau perbuatan mencuri makanan dalam kalangan cetacean termasuk lumba-lumba, paus dan porpoise.

Antara Jun 2021 hingga Oktober 2025, ahli ekologi marin dari University of the Sunshine Coast, Asia Armstrong bersama pasukannya menggunakan kamera GoPro untuk merakam Bubbles memburu kumpulan ikan berkenaan.

Namun, bukannya menangkap dan memakan ikan itu, Bubbles memilih seekor daripada kumpulan berkenaan sebelum mengejarnya tanpa henti sehingga ikan terbabit memuntahkan makanan dan berenang pergi.

Lumba-lumba itu kemudian memakan muntah berkenaan sebelum mengulangi taktik sama terhadap ikan lain, malah dikesan melakukannya kepada sehingga 10 ekor lagi dalam tempoh 30 minit.

Saintis percaya Bubbles mungkin pada awalnya cuba memakan ikan berkenaan sebelum ‘menemui’ bahawa mendapatkan makanan yang sudah dimakan mangsanya memerlukan usaha lebih sedikit.

Ini kerana bigeye trevally adalah ikan bersaiz agak besar dan mengambil masa untuk dikunyah serta dimakan berbanding makanan yang sudah dimuntahkan.

Penyelidik turut mengesyaki Bubbles menggunakan bunyi untuk mengenal pasti sasaran sesuai apabila ia menghasilkan bunyi klik sambil menggerakkan kepala dari sisi ke sisi sebelum menghampiri kumpulan ikan.

Ketika mengejar mangsa pula, lumba-lumba itu mengeluarkan bunyi klik berulang dan bunyi berfrekuensi rendah yang dipercayai mungkin membantunya mengenal pasti ikan baru makan atau memberi tekanan sehingga ikan memuntahkan makanan.

Bagaimanapun, penyelidik belum dapat memastikan sama ada bunyi itu secara langsung menyebabkan ikan muntah atau tindakan itu sebenarnya mekanisme pertahanan ikan ketika dikejar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top