Petaling Jaya: Masyarakat hari ini lazimnya mengukur kejayaan berdasarkan produktiviti, pencapaian, dan kesibukan seharian. Keadaan ini menyebabkan keletihan emosi dan fizikal kerap dianggap sebagai perkara biasa. Ramai yang memilih untuk terus bertahan atau berharap agar tidur lebih lama dan mengambil cuti pada hujung minggu dapat mengembalikan tenaga. Namun, apabila rasa letih dan kosong pada emosi berterusan walaupun tubuh telah mendapat rehat yang mencukupi, ia menandakan isu yang lebih serius. Keadaan ini merupakan petunjuk kepada burnout, iaitu fenomena akibat tekanan kronik di tempat kerja yang gagal diuruskan dengan berkesan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi International Classification of Diseases, Eleventh Revision (ICD-11) mengklasifikasikan burnout sebagai fenomena pekerjaan dan bukannya sebagai penyakit atau gangguan mental. Fenomena ini merangkumi tiga ciri utama, iaitu keletihan emosi atau kehilangan tenaga yang melampau, peningkatan jarak mental daripada pekerjaan seperti wujudnya sikap sinis atau negatif, serta penurunan keberkesanan prestasi secara profesional. Ciri-ciri ini membuktikan bahawa burnout bukan sekadar bebanan tugas yang banyak, malah mempengaruhi respon emosi, penilaian, dan pelaksanaan tanggungjawab harian individu.
Mengenali tanda sebelum terlambat
Burnout tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya berkembang perlahan-lahan dan kerap tidak disedari pada peringkat awal. Peringkat permulaan biasanya ditandai dengan rasa letih biasa, diikuti gangguan tidur, ketiadaan tumpuan, serta emosi yang mudah terganggu oleh perkara kecil. Lama-kelamaan, keadaan ini berkembang menjadi kehilangan minat terhadap pekerjaan, kecenderungan mengasingkan diri, dan perasaan bahawa usaha harian tidak lagi membawa makna. Pekerjaan yang dahulunya menyeronokkan akhirnya terasa sebagai rutin yang membebankan.
Dari sudut fizikal, tekanan yang berpanjangan boleh hadir bersama aduan seperti sakit kepala, ketegangan otot, keletihan kronik, gangguan tidur, dan masalah penghadaman. Memandangkan gejala fizikal ini juga boleh berpunca daripada masalah kesihatan lain, penilaian profesional adalah penting sekiranya ia berterusan. Dari segi emosi pula, individu mungkin menjadi lebih mudah marah, kurang sabar, serta mengalami kemerosotan tahap empati dan cenderung mengelakkan interaksi sosial kerana ketiadaan tenaga emosi. Perubahan ini turut menjejaskan prestasi kerja apabila produktiviti menurun, kesilapan semakin kerap berlaku, tugasan mudah mengambil masa yang lama, dan kekerapan mengambil cuti meningkat akibat bebanan persekitaran kerja.
Pengenalpastian burnout memerlukan kefahaman terhadap pola pengalaman berterusan dan konteks kehidupan individu, bukannya berdasarkan satu tanda semata-mata. Ia juga berbeza daripada kemurungan, walaupun terdapat gejala yang bertindih. Sekiranya perasaan sedih dan gangguan fungsi berlaku secara meluas dalam pelbagai domain kehidupan, penilaian pakar adalah sangat disyorkan.
Rentetan tekanan yang tidak berkesudahan
Kesan burnout tidak terhenti di pejabat, sebaliknya merebak ke dalam kehidupan keluarga. Apabila tenaga emosi habis diserap oleh tuntutan kerja, individu tidak lagi mempunyai keupayaan emosi untuk melayan pasangan, anak-anak, atau urusan rumah tangga. Perkara kecil yang selalunya ditangani dengan tenang boleh mencetuskan rasa marah dan kekecewaan secara beransur-ansur.
Sikap ini bukan bermakna individu tidak lagi menyayangi keluarganya, tetapi merupakan refleksi kepada keletihan emosi yang tidak diuruskan. Jika dibiarkan, corak komunikasi akan terjejas, konflik meningkat, dan hubungan kekeluargaan merenggang. Oleh itu, kesejahteraan di tempat kerja mesti dilihat secara holistik bersama kesejahteraan kehidupan harian. Keupayaan seseorang tidak seharusnya dinilai melalui produktiviti semata-mata, tetapi juga menerusi kemampuannya mengekalkan hubungan yang sihat di luar kerjaya.
Pemulihan diri bukan sekadar belajar bertahan
Pemulihan daripada burnout memerlukan tindakan proaktif dan penetapan sempadan diri yang sihat. Pada peringkat individu, sempadan yang jelas antara pekerjaan dan kehidupan peribadi perlu dibina dengan menghadkan urusan kerja selepas waktu pejabat, mengurus keutamaan tugas, serta membincangkan beban tugas secara terbuka. Penglibatan dalam aktiviti yang memberi ruang rehat secara mental seperti rekreasi di taman, membaca bahan santai, berkebun, aktiviti kreatif, beribadah, meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, serta memastikan tidur yang cukup adalah penting untuk membina semula rutin seimbang.
Namun demikian, tanggungjawab pemulihan tidak boleh diletakkan di bahu individu sahaja. Pihak majikan dan pengurusan turut memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran kerja yang sihat menerusi pengagihan tugas munasabah, komunikasi terbuka, sokongan penyeliaan, dan menyediakan saluran bantuan. Budaya kerja yang menghargai kesejahteraan manusia adalah sama pentingnya dengan budaya yang meraikan pencapaian organisasi.
Usaha mendapatkan bantuan profesional seperti kaunselor, ahli psikologi, atau pakar kesihatan merupakan langkah wajar sekiranya keletihan berlarutan sehingga mengganggu tidur, hubungan, dan fungsi harian. Langkah ini bukannya tanda kegagalan atau kelemahan, sebaliknya satu tindakan bertanggungjawab terhadap kesejahteraan diri.
Konklusinya, burnout menjadi peringatan bahawa produktiviti berterusan tidak boleh dibina dengan mengabaikan kesihatan emosi. Seperti bateri yang memerlukan pengecasan, manusia memerlukan ruang untuk berehat, pulih, dan mencapai semula homeostasis. Apabila keletihan mula mengubah cara bekerja, menjejaskan hubungan sosial, dan menghambarkan kenikmatan hidup, itulah isyarat utama untuk berhenti seketika, mendengar keperluan diri, dan mengambil langkah pemulihan secara seimbang.
Oleh Dr. Norsafatul Aznin binti A. Razak dan Dr. Rozita binti Wahab
Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan & Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.



