Krisis beri kesan terhadap kehidupan rakyat, kegiatan ekonomi negeri – PKR

Krisis beri kesan terhadap kehidupan rakyat, kegiatan ekonomi negeri – PKR

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan serta pendirian Menteri Besar yang didakwa tidak selari dengan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Keadilan negeri malam tadi yang memandang serius kemelut institusi dan pentadbiran di negeri berkenaan.

Katanya, perkembangan itu bukan sahaja melibatkan persoalan Perlembagaan dan institusi diraja, malah menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan pentadbiran, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kemelut ini memberikan kesan terhadap kehidupan rakyat dan kegiatan ekonomi negeri. Ketidaktentuan dalam pentadbiran berkait kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

“Selain itu, ia berpotensi melambatkan urusan penting yang memerlukan pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa negeri,” katanya dalam kenyatan hari ini.

Aminuddin yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, urusan pelaburan, pembangunan, kelulusan dan pindah milik tanah serta pelaksanaan projek juga berpotensi terkesan.

Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan keyakinan pelabur, menyukarkan urusan pemilik tanah dan peniaga serta memberi kesan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.

“Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ahli majlis juga tidak boleh terus tergantung kerana kedua-duanya merupakan penghubung antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

“Sekiranya pelantikan dan fungsi institusi ini terus tergantung, penduduk kampung dan komuniti setempat berisiko kehilangan saluran perwakilan serta penyelarasan yang berkesan,” katanya.

Menurut Aminuddin, keadaan semasa juga menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak berfungsi dengan berkesan akibat pertikaian berpanjangan.

Justeru, katanya, kerajaan negeri perlu memastikan kejelasan kuasa membuat keputusan dan tanggungjawab setiap pihak bagi menjamin kesinambungan pentadbiran.

“Semua pemimpin politik diseru agar mengelakkan kenyataan yang boleh meningkatkan ketegangan serta memberi ruang kepada proses perlembagaan dan undang-undang untuk menyelesaikan kemelut itu.

“PKR Negeri Sembilan akan terus memberikan sokongan kepada Tuanku Muhriz serta menghormati kedudukan dan peranan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top