Remaja Myanmar tidak terlibat dalam program penghantaran pulang 

Remaja Myanmar tidak terlibat dalam program penghantaran pulang 

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan seorang remaja perempuan warga Myanmar masih berada dalam tahanan di sebuah depot imigresen dan tidak dihantar pulang ke negara asalnya, seperti yang didakwa sebelum ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan semakan, remaja itu tidak terlibat dalam program penghantaran pulang warga Myanmar ke negara asal menerusi Ops Pier 1.0 semalam.

“JIM memandang serius dakwaan di dalam hantaran yang tular di media sosial berhubung seorang remaja perempuan warga Myanmar yang dikatakan telah dihantar pulang ke negara asalnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan hasil semakan, JIM mengesahkan bahawa individu berkenaan masih berada dalam tahanan di depot imigresen dan tidak terlibat dalam Program Penghantaran Pulang warga Myanmar melalui kapal tentera Myanmar pada semalam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, JIM mengambil perhatian terhadap kebimbangan yang dibangkitkan khususnya berkaitan aspek keselamatan dan kebajikan tahanan.

“Pada masa sama, dalam melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang imigresen, JIM turut memberikan perhatian terhadap pertimbangan kemanusiaan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa,” jelasnya.

Menurutnya, pengurusan depot imigresen dilaksanakan mengikut ketetapan dan piawaian antarabangsa seperti United Nations Standard Minimum Rules for the Treatment of Prisoners (The Nelson Mandela Rules).

“Selain itu, kawalan dalaman juga dilaksanakan melalui peruntukan di dalam Peraturan-Peraturan Imigresen (Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen) 2003 dan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen dengan mengambil kira prinsip layanan berperikemanusiaan,” katanya.

Zakaria berkata, orang ramai diminta  tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan berhubung tindakan dan proses yang dilaksanakan jabatan itu.

“JIM kekal komited untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang imigresen secara profesional dan berintegriti, di samping memberikan perhatian sewajarnya terhadap kebajikan dan pertimbangan kemanusiaan,” katanya.

Sebelum itu, satu hantaran tular mendakwa seorang remaja perempuan Myanmar berusia 15 tahun yang menggunakan nama samaran Hafsa bakal dihantar pulang ke Myanmar menerusi program berkenaan.

Hantaran berkenaan turut mendakwa remaja itu telah berada di Malaysia bersama keluarganya sejak 2020 dan ditahan pihak imigresen pada 29 Mei 2025.

Namun, berlaku campur tangan pada saat akhir dan remaja berkenaan dipercayai tidak dihantar pulang. – UTUSAN

Scroll to Top