ROMPIN: Percutian seorang lelaki warga Afghanistan bersama anak perempuannya di Pulau Tioman bertukar tragedi apabila dia dipercayai lemas ketika menyertai aktiviti Discovery Scuba Diving (DSD) di perairan Kampung Salang di sini hari ini.
Mangsa, Mohammed Seyar Musazay, 55, yang menetap di California, Amerika Syarikat (AS), disahkan meninggal dunia selepas mengalami masalah ketika melakukan aktiviti selaman pada kedalaman kira-kira enam meter.
Ketua Polis daerah, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 pagi ketika mangsa bersama anak perempuannya berusia 24 tahun dan seorang jurulatih menyertai aktiviti berkenaan.
Memuatkan artikel berkaitan…
Menurutnya, kedua-dua beranak itu sudah diberi taklimat penggunaan peralatan selam sebelum dibawa ke pantai untuk latihan praktikal seterusnya menyambung aktiviti di laut.
“Sepanjang kira-kira 20 minit melakukan selaman pada kedalaman enam meter, mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang masalah.
“Bagaimanapun, ketika aktiviti hampir selesai, jurulatih membantu anak mangsa naik ke permukaan terlebih dahulu dari kedalaman kira-kira tiga meter sebelum melihat mangsa terkapai-kapai untuk naik ke permukaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sharif Shai berkata, jurulatih kemudian menghampiri mangsa dan mendapati alat pernafasan sudah tercabut daripada mulutnya selain mangsa tidak sedarkan diri.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke pantai sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek menggunakan bot penduduk. Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia kira-kira pukul 12.40 tengah hari,” katanya.
Beliau berkata, mangsa bersama anak perempuannya yang baru menamatkan pengajian di universiti itu tiba di Pulau Tioman pada 26 September lalu untuk bercuti dan menginap di sebuah chalet sehingga 3 Oktober ini. – UTUSAN




