am@hmetro.com.my
SIAPA sangka, dari seorang yang kurang aktif ketika kecil, kini individu ini mewakili Malaysia di Persidangan Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU) di Östersund, Sweden, baru-baru ini.
Persidangan FISU menghimpunkan penuntut universiti serata dunia untuk bertukar pendapat berkenaan sukan universiti serta merapatkan jurang antara sukan dan akademik.
Nur Syafiqah Mohd Nasri, 24, yang juga graduan Sains Sukan (Rehabilitasi Sukan), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengakui sepanjang persidangan selama lima hari, dia dapat mengenali ramai orang dengan latar belakang yang berbeza. “Kami juga mengadakan perbincangan dan pertukaran idea bersama,” katanya.
Selain bertukar pendapat, Nur Syafiqah turut mengadakan ‘pameran’ bagi mengetengahkan warisan negara kepada peserta persidangan FISU itu.
“Sebelum bergerak ke Sweden, saya ada membuat persiapan membeli cenderamata yang melambangkan negara kita untuk dibawa ke sana seperti bendera kecil Jalur Gemilang, ‘button badge,’ dan juga congkak.
“Bagi menunjukkan lagi warisan negara, saya mengenakan baju kebaya sepanjang hari,” katanya.
Berkongsi cabaran katanya, ketika hari pertandingan semakin hampir, dia menjaga pemakanan bagi memastikan berat badannya berada dalam kategori yang dipertandingkan.
“Terdapat juga hari, saya perlu mencuri masa untuk menyiapkan tugasan yang diberikan kerana terlalu sibuk dengan latihan serta menjadi ahli pasukan perubatan,” katanya.
Meskipun banyak cabaran perlu dilalui, Nur Syafiqah sedar ia adalah perkara biasa untuk seseorang itu berjaya dan lebih cekal.
Dia turut mengharapkan supaya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana di luar negara satu hari nanti.
Dunia sukan sejak usia tujuh tahun
Anak kelahiran Pahang itu mula menceburi dunia sukan sejak berusia tujuh tahun.
Disebabkan dirinya yang pasif atau kurang aktif ketika itu membuatkan ibu bapanya mengambil keputusan untuk menghantar Nur Syafiqah menyertai kelas taekwondo.
“Masa kecil, mama abah tengok saya suka bersendirian dan pasif, jadinya mereka menghantar saya ke kelas taekwondo supaya saya jadi lebih aktif,” katanya anak keempat daripada lima beradik.
Selepas setahun berlatih, jurulatihnya menghantar Nur Syafiqah ke sebuah pertandingan taekwondo dan dia berjaya memenangi pingat emas bagi kategori kyorugi (tempur).
“Saya terkejut dan betul-betul tak sangka saya mampu memenangi pingat emas itu.
“Itu menjadi pembakar semangat buat saya untuk terus berlatih bersungguh-sungguh,” katanya.
Di atas usaha yang tidak mengenal putus asa, Nur Syafiqah akhirnya berjaya memperoleh beberapa pencapaian yang membanggakan sepanjang 17 tahun bergelar atlet.
“Antara pencapaian terbaik saya ialah memenangi pingat emas di sebuah kejohanan di Thailand pada tahun 2017 dan dianugerahi peserta terbaik pertandingan.
“Pada tahun berikutnya, saya mewakili Pahang ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan berjaya membawa pulang pingat perak.
“Selain pada tahun yang sama, saya berjaya ke peringkat separuh akhir di Kejohanan World Taekwondo Malaysia Open dengan memenangi pingat gangsa di,” katanya kepada Harian Metro.
Pencapaian Nur Syafiqah tidak terhenti di situ sahaja. Ketika di UPSI pula, dia turut menyumbang pelbagai pingat di kejohanan institut pengajian tinggi awam dan institut pengajian tinggi swasta termasuk kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Sukan IPT (SUKIPT) dan Varsity Combat Sports (VCS).
Selepas hampir dua dekad dalam dunia sukan, Nur Syafiqah mengambil keputusan untuk menamatkan kariernya sebagai seorang atlet di kejohanan SUKIPT edisi ke-7 tahun ini.
Walaupun sudah bersara sebagai atlet, jalan kehidupan Nur Syafiqah di dalam dunia sukan tidak terhenti di situ.
Ketika masih bergelar penuntut di UPSI, Nur Syafiqah turut menjalankan kerja bebas (freelance) sebagai ahli pasukan perubatan untuk beberapa kelab sukan di Malaysia.
“Saya menggunakan ilmu sains sukan yang dipelajari ketika di UPSI untuk berkhidmat di kelab-kelab sukan yang ingin perkhidmatan pertolongan cemas.
“Berkat doa mama dan abah, beberapa kelab sukan hoki, bola sepak, ragbi dan olahraga memanggil saya berkhidmat untuk mereka,” katanya kepada Harian Metro. Katanya, pencapaian terbesar baginya apabila dia dipilih untuk menjadi ahli pasukan perubatan buat Pasukan Hoki Polis Selangor di Kejohanan Hoki Piala Ketua Polis Negara (KPN).
“Selain KPN, saya juga pernah dipanggil berkhidmat untuk Pahang di kejohanan SUKMA 2026 yang berlangsung di Selangor,” katanya.
“Saya bersyukur mama dan abah tidak pernah melarang saya untuk mencuba segala perkara saya nak buat dan mereka sentiasa mendoakan saya,” katanya.
Selain itu, dia juga berterima kasih kepada jurulatih yang mengajarnya untuk menjadi seorang yang mementingkan disiplin serta berdikari.
© New Straits Times Press (M) Bhd




