Semak dulu, baru beli

Semak dulu, baru beli

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengguna Islam dinasihatkan supaya tidak hanya melihat penampilan luaran premis, nama produk, penggunaan kalimah Islam, logo, simbol atau hiasan sebagai ukuran untuk menentukan status halal sesuatu makanan atau barangan.

Memberikan nasihat itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, pengguna sebaliknya perlu membuat semakan terhadap status pensijilan halal yang sah sebelum membuat pembelian.

Katanya, penampilan atau dakwaan yang memberi gambaran sesuatu produk sesuai untuk dimakan umat Islam tidak seharusnya dijadikan asas tunggal dalam membuat keputusan pembelian.

“Pengguna hendaklah sentiasa berwaspada dan membuat pilihan secara bijak dengan tidak menilai status halal sesuatu produk, makanan atau premis perniagaan hanya berdasarkan penampilan luaran.

“Contohnya nama produk, penggunaan kalimah Islam, logo, simbol, hiasan premis atau dakwaan yang memberi gambaran bahawa sesuatu produk adalah sesuai untuk dimakan oleh umat Islam,” katanya.

Menurutnya, bagi produk tempatan, pengguna disarankan memilih produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang berwibawa.

Beliau berkata, bagi produk import pula, pengguna perlu memastikan produk berkenaan mempunyai pensijilan halal yang dikeluarkan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM.

Katanya, senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf boleh disemak melalui Portal MyeHALAL.

“Pengguna digalakkan memastikan premis makanan atau perniagaan dikunjungi mempunyai pensijilan halal yang masih sah dan tidak mudah terpengaruh dengan label, slogan atau logo tidak disokong sijil halal daripada pihak berkuasa yang diiktiraf.

“Kerajaan menyediakan saluran semakan rasmi bagi membolehkan pengguna mengesahkan status halal produk atau premis sebelum membuat keputusan pembelian termasuk Portal MyeHALAL dan aplikasi SmartHalal.

“Pengguna hendaklah sentiasa mengamalkan sikap ‘Semak Dahulu, Baru Beli’ dengan membuat pengesahan melalui saluran rasmi.

“Jangan membuat keputusan pembelian hanya berdasarkan penampilan luaran, dakwaan atau penggunaan simbol tertentu, sebaliknya pastikan produk atau premis berkenaan mempunyai pensijilan halal yang sah dan diiktiraf,” katanya.

Beliau berkata, langkah melakukan semakan itu penting bagi meningkatkan keyakinan pengguna selain membantu memastikan hak pengguna Islam terus terpelihara.

Pada masa sama, katanya, KPDN terus mempergiatkan program advokasi dan pendidikan kepenggunaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membuat semakan sebelum membeli.

Harian Metro menyiarkan laporan eksklusif secara bersiri mulai minggu lalu mengenai isu halal, keperluan mewujudkan satu Akta Halal khusus lebih komprehensif yang wajar dipertimbangkan kerajaan bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani penyalahgunaan logo, istilah dan dakwaan halal.

Turut dilaporkan Skuad Khas Harian Metro adalah pendedahan Aktivis Pejuang Halal, Naim Malik yang mendakwa dia diugut bunuh dan terima pelbagai ugutan lain kerana membongkar premis makanan yang beroperasi tanpa sijil halal.

Susulan itu, JAKIM dalam satu kenyataan berkata, tindakan sitaan sudah diambil terhadap satu restoran mi tarik tular di Kajang yang didakwa menggunakan logo halal tidak diiktiraf pihaknya dan premis itu didapati bukan pemegang SPHM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top