Los Angeles: Sebuah roller coaster popular di California bakal ditutup selepas puluhan individu mendakwa mengalami kerosakan otak selepas menaikinya.
X2 di Six Flags Magic Mountain sangat curam serta mempunyai lekukan tajam yang telah memberi keterujaan kepada jutaan pengunjung selama dua dekad, dengan tempat duduk yang boleh berpusing 360 darjah semasa gerabak bergerak pada kelajuan sehingga 130 kilometer sejam.
Namun, ia menimbulkan persoalan dari sudut undang-undang, termasuk daripada dua wanita yang keluarga mereka mendakwa cedera parah Julai lalu di Valencia, utara Los Angeles.
Pamela Guillen, 40, mengalami hematoma subdural yang teruk dan pemampatan otak selepas menaiki X2 pada 5 Julai, serta menjalani pembedahan kecemasan yang memerlukan doktor membuang sebahagian daripada tulang tengkoraknya, menurut keluarganya kepada CNN dalam satu siasatan bulan lalu.
Kurang seminggu kemudian, Naomi Greer-Wilkinson dari Los Angeles, 25, tidak sedarkan diri selepas menaiki X2 dan menjalani pembedahan otak kecemasan, lapor CNN.
Dia kekal koma selama beberapa minggu dan masih tidak boleh bercakap atau bernafas secara sendiri, mengikut keluarganya.
Kereta lungsur itu ditutup tidak lama selepas insiden kedua, tetapi pada hari Selasa, pengurusan taman tema mengumumkan penutupannya secara kekal.
“Selepas hampir 20 tahun, kami telah memutuskan untuk merehatkan X2 secara kekal.
“Sejak X2 dibuka pada tahun 2008, ia telah menyambut lebih 16 juta pengunjung dan mendapat sokongan padu daripada peminat tegar roller coaster.
“Meskipun X2 sentiasa melepasi pelbagai ujian keselamatan, kami memutuskan untuk menutupnya kerana kami percaya ini adalah tindakan yang betul. Keselamatan tarikan adalah teras perniagaan kami, dan apabila keyakinan pengunjung terjejas, kami mengambilnya secara serius,”kata Presiden Taman Tema, Brian Oerding.
Peguam di Dordick Law, yang mewakili Greer-Wilkinson, berkata mereka telah dihubungi oleh lebih 100 orang yang mendakwa cedera akibat roller coaster berkenaan.
“Reka bentuk tarikan ini secara semula jadi adalah berbahaya, dan berbahaya dalam cara yang tidak dijangka oleh mana-mana pengunjung yang munasabah,” kata peguam Christopher Bulone kepada wartawan.
Pengendali taman tema, Six Flags, yang mempunyai premis di seluruh Amerika Utara, menyatakan pihaknya tidak mengulas mengenai litigasi yang sedang berjalan.
Ogos lalu, syarikat itu dan pengeluar tarikan, S&S Worldwide Inc., telah mencapai penyelesaian dengan keluarga Christopher Hawley, 22, yang meninggal dunia selepas menaiki X2 pada tahun 2022.
Satu saman berasingan dijadualkan pada tahun hadapan di mana Sheila Katerelos, 56, mendakwa dia mengalami kecederaan otak trauma semasa menaiki roller coaster itu pada tahun 2020.
© New Straits Times Press (M) Bhd




