SHAH ALAM – Keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk meletakkan jawatan hanya selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan rumah dilihat sebagai isyarat politik bersyarat yang cuba mengimbangi pendirian prinsip DAP dengan keperluan mengekalkan kestabilan kerajaan.
Penganalisis politik, Muhammad Afifi Abdul Razak berkata, penetapan tempoh berkenaan membawa beberapa mesej termasuk menunjukkan bantahan terhadap perkembangan berkaitan pengampunan Najib tanpa mencabar institusi diraja.
Menurut beliau, ia juga dilihat sebagai usaha meredakan tekanan dalam DAP yang sebelum ini memberikan mandat besar untuk parti terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyifatkan Anthony sebagai seorang yang berprinsip berikutan sejak awal membantah peraturan yang memberi gambaran longgar terhadap rasuah dan DAP juga menegaskan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak dipertikaikan.
“Selain itu, selepas Anthony kalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, perwakilan DAP pada 16 Ogos lalu memberi mandat untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan, maka peletakan jawatan ini membolehkan pimpinan menunjukkan prinsip tanpa melanggar mandat itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada Selasa Sinar Harian melaporkan Anthony sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan kepada Anwar, namun beliau akan terus berada dalam Kabinet sehingga Najib benar-benar keluar penjara untuk menjalani tahanan rumah.
Mengulas lanjut Muhammad Afifi berkata, tempoh menunggu sehingga Najib menjalani tahanan rumah turut mempunyai beberapa risiko terutama isyarat prinsip yang mahu DAP disampaikan.
Katanya, Anthony akan dilihat semakin kurang tegas sekiranya tempoh berkenaan berlarutan, selain membuka ruang kepada tekanan dalaman dan serangan politik daripada pihak lawan.
“Saya menilai ada lima risiko utama iaitu hakisan kredibiliti isyarat, tekanan dalaman, serangan lawan, kesan pentadbiran dan hakisan sokongan teras.
“Sesetengah pemimpin DAP sendiri mempunyai tafsiran berbeza dan serangan berterusan UMNO terhadap parti itu sejak awal menjadi faktor utama yang menjejaskan kestabilan kerajaan Madani.
“Maka tempoh menunggu yang panjang boleh dieksploitasi sebagai bukti DAP mahu kedua-duanya iaitu prinsip dan jawatan,” ujarnya.



