sukan@hmetro.com.my
Nagoya: Empat pelari kuartet 4×100 meter (m) wanita negara berharap Olahraga Malaysia (MA) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan penyenaraian mereka dalam Program Podium sepenuh masa tanpa mewajibkan latihan berpusat di Bukit Jalil.
Permintaan itu disuarakan selepas kuartet baharu negara yang dibarisi Nur Aishah Rofina Aling, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Fatin Ilyana Mat Nayan dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka membuat penampilan sulung pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Mereka menamatkan saringan satu pusingan pertama di tempat kelima dengan catatan 45.24 saat (s).
Catatan itu belum cukup untuk membawa mereka ke final, namun dianggap positif selepas keempat-empat pelari hanya sempat berlatih bersama selama dua minggu sebelum temasya.
Izzatul yang muncul ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 berkata, mereka ketika ini tidak berada dalam Program Podium sepenuh masa kerana syarat pemusatan di Bukit Jalil kurang sesuai dengan komitmen pengajian dan latihan masing-masing.
Katanya, dia melanjutkan pengajian di Kolej Universiti TATI (UC TATI) di Terengganu manakala Wardatul dan Fatin Ilyana menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim dan Nur Aishah berada di Sabah.
“Kami harap pihak atasan mencari titik keseimbangan untuk setiap atlet.
“Kami mahu sistem lebih fleksibel kerana kalau kami boleh berlatih di negeri masing-masing dan masih menunjukkan prestasi, kenapa perlu berpindah ke Bukit Jalil?
“Sebagai atlet berpengalaman, kami tidak memerlukan latihan relay terlalu lama. Tiga atau empat hari latihan intensif pertukaran baton sudah memadai kerana relay bukan hanya mengenai teknik baton, tetapi juga kekuatan individu,” katanya ketika ditemui.
Izzatul berkata, kuartet itu mempunyai potensi untuk berkembang sekiranya diberikan perancangan dan sokongan lebih baik menjelang kejohanan akan datang terutamanya Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Malaysia selaku tuan rumah.
“Saya positif dengan kombinasi ini dan percaya kami boleh melakukan sesuatu pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Nur Wardatul berkata, mereka pada awalnya menyasarkan catatan bawah 45 saat (s) untuk memecahkan rekod kebangsaan, namun tetap berpuas hati dengan catatan 45.24s dalam penampilan pertama bersama.
“Ini kali pertama kami berganding dalam temasya besar. Walaupun baru dua minggu berlatih bersama, kami dapat catatan 45 saat dan ini satu petanda baik untuk kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




