Cuti Jubli Perak Sultan Selangor: Majikan swasta perlu patuh, wajib beri cuti berbayar!

Cuti Jubli Perak Sultan Selangor: Majikan swasta perlu patuh, wajib beri cuti berbayar!

Pekerja sektor swasta di Selangor yang menjadikan Ahad sebagai hari rehat berhak mendapat cuti gantian berbayar pada 26 Oktober ini sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) memaklumkan, cuti peristiwa pada 25 Oktober merupakan hari kelepasan am pilihan yang wajib diberikan sebagai cuti berbayar oleh majikan sektor swasta di Selangor.

Menurutnya, majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat hendaklah memberikan cuti gantian pada Isnin, 26 Oktober, selaras dengan Seksyen 60D(1) Akta Kerja 1955.

“Sebagai alternatif, majikan juga boleh dengan persetujuan pekerja menggantikan hari kelepasan am berbayar berkenaan kepada hari lain sebagaimana peruntukan Seksyen 60D (1A) Akta Kerja 1955,” menurut kenyataan itu.

JTKSM menjelaskan, pengisytiharan cuti peristiwa tersebut dibuat mengikut Subseksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang membenarkan kerajaan negeri mengisytiharkan hari kelepasan am.

Terdahulu, pada 11 September, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan 26 Oktober sebagai cuti gantian bagi seluruh negeri berikutan sambutan kemuncak Jubli Perak Sultan Selangor pada 25 Oktober jatuh pada Ahad.

Sumber: BERNAMA

Scroll to Top