am@hmetro.com.my
Alor Setar: Wanita warga emas berusia 102 tahun direkodkan sebagai antara yang tertua di Kedah menukar MyKad generasi baharu, hari ini.
Bedah Salleh dari Kampung Baru, Tambak Bunga, Jalan Kuala Kedah, di sini, hadir di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Anak Bukit, di sini, jam 9 pagi tadi, dengan ditemani dua anaknya.
Menurut Bedah, proses menyiapkan MyKad baharu itu sangat cepat berbanding dahulu dan lebih mudah.
“Sepanjang hidup tok, ini kali keempat tukar MyKad baharu, tapi kali ni sangat cepat dan tak perlu tunggu lama dah siap,” katanya ditemui.
Selain Bedah, dua anaknya, Sopeah Majid, 80, dan Ghazali, 76, turut menukar MyKad baharu hari ini.
Katanya, dia kini menetap bersama anak sulungnya, Sopeah, bersyukur kerana diberikan kesihatan yang baik, cuma mengalami masalah pendengaran.
“Tak ada rahsia apapun, cuma sejak di usia muda tok amalkan makan ulam-ulaman, kurangkan makan berdaging dan banyakkan makanan rebus.
“Dulu masa muda, tok kerja sebagai petani di sawah dan selepas itu tak kerja dah. Sejak suami meninggal 2013, tok duduk rumah saja dengan anak cucu,” katanya.
Menurutnya, suaminya, Majid Saad meninggal dunia akibat sakit tua dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak.
Bedah kini memiliki tujuh cucu dan tujuh cicit.
Katanya, dia tidak ingat tahun kelahiran sebenar, namun memaklumkan yang dia sudah remaja ketika perang dunia kedua meletus.
“Masa tu tok ingat lagi suasana perang, nampak pesawat Jepun berlegar di udara, memang takut,” katanya.
Sementara itu, Sopeah berkata, ibunya tergerak hati untuk memperbaharui kad pengenalan selepas dimaklumkan oleh anak serta cucunya.
Katanya, kali terakhir ibunya memperbaharui MyKad ialah pada 2014 di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar.
“Pagi ini emak bangun awal pagi, siap sarapan sebelum datang ke sini dan malah dia cukup bersemangat.
“Sebaik tiba, kami ambil nombor giliran sebelum pegawai bertugas panggil emak. Semua proses memang cepat,” katanya.
Menurut Sopeah, biasanya, jika hendak hilangkan tekanan, ibunya akan mengajaknya bermain congkak.
Katanya, walaupun ibunya tidak pernah bersekolah, namun mempunyai pengetahuan tinggi.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah JPN Kubat Anuar Abd Rahaman berkata, setakat ini, 2,300 individu sudah menukar MyKad generasi baharu di negeri ini.
Beliau berkata, penukaran MyKad generasi baharu pada 17 September lalu agak tinggi iaitu 300 MyKad di UTC Kedah, UTC Sungai Petani dan Anak Bukit, di sini.
“Jika tiada masalah, MyKad ini boleh disiapkan dalam tempoh 30 minit. Ia hanya dibuat di empat lokasi iaitu UTC Kedah, UTC Kulim, UTC Sungai Petani dan JPN Anak Bukit, manakala di lokasi, ia boleh siap dalam tempoh lima hari bekerja.
“Hari ini, sempena Hari JPN yang ke-78 tahun, kita menerima wanita warga emas berusia 102 tahun yang memperbaharui MyKad generasi baharu dan berjaya disiapkan dalam tempoh yang singkat.
“Berkemungkinan usianya lebih daripada itu tetapi direkodkan sebagai 102 tahun, malah setakat ini, dia antara yang tertua di Kedah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




