Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan sebarang tindakan lanjut terhadap dirinya susulan penularan sebuah video yang dikaitkan dengannya.
Beliau menjelaskan perkara itu menerusi sidang akhbar khas hari ini berhubung kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Menurut Shuhaily, beliau turut membuat laporan polis susulan kejadian tersebut kerana mengesyaki kemungkinan wujud usaha untuk mencemarkan imej AKPS secara keseluruhan, selain reputasi dirinya.
Dalam masa sama, beliau mengakui mempunyai kekurangan sebagai seorang individu dan bersedia berdepan dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak kerajaan.
“Seperti tuan-tuan selalu lihat dalam klip video dalam media sosial, saya sering mengatakan saya tidak sempurna.
“I’ve said that many times, and today I’m standing in front of you, owning and facing my incompleteness (saya sudah banyak kali mengatakan perkara itu dan hari ini saya berdiri di hadapan anda semua, mengakui serta berdepan dengan segala kekurangan diri saya).
“Saya juga telah memaklumkan kepada peringkat tertinggi kerajaan dan juga kementerian berkaitan hal itu, justeru apa juga keputusan mereka saya terima,” katanya.

Shuhaily turut menyatakan bahawa sebarang usaha untuk membawa perubahan memerlukan pengorbanan dan beliau bersedia menanggung akibatnya sekiranya dirinya menjadi harga yang perlu dibayar.
Beliau bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
“Apapun saya akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat lanjut dengan penuh efisien dan biarlah keadilan akan muncul kelak untuk semua pihak,” katanya lagi.
Terdahulu, sebuah video tular di media sosial memaparkan individu mirip Shuhaily sedang memarahi seorang individu lain di sebuah lokasi di KLIA.
Pada masa sama, turut tersebar salinan dakwaan daripada seorang individu yang mendakwa dirinya telah dikasari oleh Shuhaily.

Setakat ini, Shuhaily menyerahkan sebarang keputusan berhubung tindakan terhadap dirinya kepada kerajaan, manakala siasatan lanjut diserahkan kepada pihak berkuasa.
Sumber: Kosmo! Online (Mohd Ridzuaddin Roslan)




