Kes bunuh penebar roti canai: Penganggur dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

Kes bunuh penebar roti canai: Penganggur dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

am@hmetro.com.my

Tawau: Seorang lelaki yang mengaku bersalah membunuh wanita penebar roti canai menarik nafas lega apabila dia tidak dikenakan hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menjatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadapnya.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhi hukuman itu terhadap Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 37, selepas mempertimbangkan hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan berhubung hukuman yang wajar dikenakan terhadap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman mati atau, sebagai alternatif, hukuman maksimum 40 tahun penjara.

Dalam hujahan pemberatnya, beliau menegaskan bahawa walaupun Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 berkuat kuasa, hukuman mati masih boleh dijatuhi dalam kes tertentu dengan merujuk beberapa keputusan mahkamah yang menyaksikan hukuman mati dijatuhi selepas akta berkenaan berkuat kuasa.

Bagi kes ini katanya, keadaan kematian mangsa adalah sangat kejam dan mengerikan berdasarkan bukti dan gambar di tempat kejadian selain menekankan penderitaan yang didakwa dialami mangsa yang baru kembali bekerja kira-kira enam bulan selepas melahirkan anak bagi membantu menambah pendapatan keluarga sebelum meninggal dunia.

Pendakwaan turut berhujah, tiada faktor seperti ketidakwarasan mental atau provokasi berat dan mengejut yang boleh dianggap sebagai keadaan meringankan dalam kes berkenaan.

Bagaimanapun, peguam, Kamarudin Mohmad Chinki yang mewakili tertuduh memohon hukuman 30 tahun penjara dan 12 sebatan, dengan mengambil kira pengakuan bersalah, penyesalan tertuduh serta latar belakang dan tanggungan keluarganya.

Pembelaan berhujah hukuman mati tidak semestinya dikenakan dalam setiap kes sabitan membunuh dan mahkamah perlu menilai keadaan kes serta latar belakang pesalah secara individu.

Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap tertuduh bermula tarikh tangkapan iaitu pada 17 November 2024.

Mengikut pertuduhan, Md Ridzuan didakwa membunuh Sirlin Salleh, 36, di Kampung Pisang, Lahad Datu, antara 6 pagi hingga 8 pagi, 14 November 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, ketika dibawa keluar dari bilik bicara selepas keputusan dibacakan, Kamarudin sempat memberikan kata-kata semangat kepada anak guamnya supaya bertaubat serta memperbanyakkan amal ibadat sepanjang menjalani hukuman di penjara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top