Penganggur bunuh penebar roti canai dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

Penganggur bunuh penebar roti canai dipenjara 35 tahun, 12 sebatan

TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini hari menjatuhkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang penganggur selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh seorang penebar roti canai, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Md Ridzuan Abd Ahmad Zaini Logan, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Steve Ritikos.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Sirlin Salleh, 36, di kawasan semak, Kampung Pisang, Lahad Datu, antara pukul 6 hingga 8 pagi, 14 November 2023.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang juga ibu kepada lima anak ditemukan ahli keluarganya kira-kira 600 meter dari rumahnya pada pukul 8.15 pagi.

Mangsa yang bekerja sebagai penebar roti canai dipercayai melalui lokasi kejadian ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, iaitu laluan yang biasa digunakannya seperti disahkan oleh suaminya.

Pemeriksaan pakar forensik menemukan kesan hentakan objek tumpul pada bahagian kepala mangsa, beberapa kesan kelar menggunakan senjata tajam pada bahagian leher dan luka di bahagian tangan dipercayai berlaku ketika mangsa cuba mempertahankan diri.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh, sama ada hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, dengan mengambil kira cara mangsa dibunuh yang disifatkan amat mengerikan, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, mangsa dipercayai dipukul sebelum diseret melalui kawasan semak, mulutnya diikat dan lehernya dikelar seperti haiwan.

Katanya, mangsa merupakan seorang wanita yang kembali bekerja hanya enam bulan selepas melahirkan anak bagi membantu suaminya menyara keluarga. – UTUSAN

Scroll to Top