am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai terjatuh dari sebuah blok pangsapuri di Taman Bukit Segar, Batu 9 Cheras, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.46 petang.
Katanya, berikutan itu sepasukan pegawai bersama Unit Forensik digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Naazron berkata, mangsa lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an, dipercayai tinggal di sebuah unit di tingkat tujuh blok berkenaan.
Beliau berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), untuk proses bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut serta punca kejadian masih dalam siasatan.
Orang ramai mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian, diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sub Inspektor Norfaizal Zakaria di talian 016-290 2901 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




