SHAH ALAM – Kenaikan gaji minimum baharu perlu disusuli mekanisme bersesuaian bagi memastikan peningkatan pendapatan itu turut mengambil kira pengalaman dan kemahiran pekerja sedia ada, sekali gus mengelakkan berlakunya wage compression.Penganalisis Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata, perkara itu penting berikutan pekerja telah berkhidmat bertahun-tahun berkemungkinan menerima gaji tidak jauh berbeza dengan pekerja baharu sekiranya kadar gaji minimum dinaikkan.Menurutnya, sebagai contoh, pekerja yang mula bekerja sekitar 2016 ketika kadar gaji minimum di Semenanjung sekitar RM1,000 dan menerima kenaikan kira-kira RM100 setahun, kini mungkin hanya memperoleh sekitar RM2,100.”Jika diumumkan RM2,000 pada tahun depan, ini menyebabkan jurang pendapatan mereka ataupun wujudnya wage compression ataupun kemampatan upah yang semakin rapat antara pekerja yang mempunyai pengalaman 10 tahun dan juga pekerja yang baru sahaja masuk ke dalam pasaran.”Jadi, diharapkan kerajaan perlu melihat perkara ini dan diberikan mekanisme yang tertentu supaya majikan memberikan sedikit peningkatan gaji kepada mereka untuk memastikan kesetiaan mereka dan juga menghargai pendapatan ataupun pengalaman dan kemahiran yang mereka ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.Sebelum itu, Kabinet bersetuju Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.Mustazar menambah, pendekatan itu sebenarnya selari dengan Dasar Upah Progresif yang menggalakkan peningkatan gaji berdasarkan pengalaman dan kemahiran pekerja.Beliau berpandangan, kerajaan juga boleh menyediakan insentif kepada syarikat bukan PMKS bagi menggalakkan majikan memberikan peningkatan gaji kepada pekerja sedia ada berdasarkan pengalaman serta kemahiran dimiliki.”Ini sedikit sebanyak melegakan pekerja-pekerja yang sedia ada yang mengalami wage compression ini,” ujarnya lagi.Dalam pada itu, Mustazar berkata, kenaikan gaji minimum baharu memberi kelegaan kepada pekerja baharu terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lepasan institusi pendidikan lain bagi membantu mereka menanggung kos hidup makin meningkat.Bagaimanapun katanya, peningkatan gaji itu perlu dilaksana seimbang supaya tidak memberi tekanan keterlaluan kepada majikan terutama PMKS.



