ALOR GAJAH: Proses memilih calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melibatan tiga peringkat tapisan sebelum diputuskan kepimpinan tertinggi parti.
Ketua Sekretariat War Room UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, proses itu bermula di peringkat bahagian sebelum senarai berkenaan diteliti kepimpinan UMNO negeri.
Seterusnya ia melalui tapisan menerusi Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama ahli jawatankuasa yang ditetapkan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Lagi awal senarai calon lagi bagus. Kami berharap calon-calon yang terbaik, sama ada calon sedia ada atau calon baharu, akan diputuskan berdasarkan tiga peringkat penilaian.
“Selalunya UMNO dan BN memutuskan calon berdasarkan tiga peringkat dan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf sudah menyebut setiap bahagian perlu menghantar sekurang-kurangnya senarai tiga calon,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka kepada Kementerian Pendidikan (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, pemilihan calon turut mengambil kira formula enam faktor kemenangan yang digunakan War Room UMNO iaitu aktiviti berterusan, perpaduan semua jentera, calon terbaik, penggunaan data, emosi rakyat serta aspek kewangan atau dana.
Mengenai sasaran BN pada PRN Melaka Ahmad berkata, War Room UMNO Malaysia berharap parti itu sekurang-kurangnya dapat mempertahankan 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN Melaka pada 2021 yang lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, kesiapsiagaan menghadapi serangan serta naratif di media sosial turut menjadi antara tumpuan War Room BN bagi menghadapi PRN berkenaan.
Katanya, jentera media sosial parti sudah diaktifkan di Melaka selepas sebelum ini memberi tumpuan kepada Johor dan Negeri Sembilan, selain akan bertindak balas terhadap sebarang naratif yang disifatkan perlu dijawab.
“Yang penting dalam media sosial ini, kami kena jawab balik. Jika mereka membina naratif tertentu, kami kena segera menjawab balik. Jangan bertahan,” katanya.
Mengenai kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka, Ahmad berkata, keputusan berhubung perkara itu perlu dibuat berdasarkan keputusan parti dan proses rundingan yang dibawa dari peringkat negeri ke pusat. – UTUSAN




