Polis Kulai cari banduan bebas berlesen hilang sejak 15 Sept

Polis Kulai cari banduan bebas berlesen hilang sejak 15 Sept

am@hmetro.com.my

Kulai: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang juga Orang Bebas Berlesen (OBB) selepas dia dipercayai meninggalkan daerah parol Johor Bahru tanpa kebenaran sejak 15 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan lelaki berkenaan pada 17 September lalu.

“Lelaki terbabit dikenali sebagai Hari Raj a/l Suresh, 30, dengan alamat terakhir di Jalan Desa 2, Taman Desa Kulai.

“Dia mempunyai berat kira-kira 60 kilogram, muka bulat, hidung kemek, rambut botak dan berkulit hitam manis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tan berkata, laporan polis telah dibuat oleh pegawai penjara yang memaklumkan OBB berkenaan tidak dapat dikesan di sekitar daerah Kulai dan Johor Bahru oleh Pegawai Penyeliaan Parol Daerah Johor Bahru.

“Lelaki terbabit disyaki meninggalkan daerah parol Johor Bahru tanpa kebenaran dan sehingga laporan polis dibuat, dia masih tidak pulang serta gagal dikesan.

“Pengadu turut berusaha mencari dan mengesannya di beberapa lokasi, namun gagal,” katanya.

Tan berkata, lelaki berkenaan kemudian didaftarkan sebagai individu dikehendaki.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali lelaki berkenaan supaya menghubungi Ketua Polis Balai Kulai, Inspektor Abdul Mustafa Kamal Md Said atau Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai di talian 07-663 2222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top