Dua peringkat terakhir peluang Nur Aiman intai podium – Emir

Dua peringkat terakhir peluang Nur Aiman intai podium – Emir

sukan@hmetro.com.my

Rembau: Dua peringkat terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 menjadi medan buat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli melancarkan serangan terakhir bagi memburu podium.

Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, laluan Peringkat 7 dan 8 yang lebih landai memberi ruang kepada Aiman untuk kembali menggunakan kekuatannya sebagai pelumba ‘breakaway’ dalam usaha mencipta keputusan terbaik sebelum perlumbaan melabuhkan tirai di Putrajaya.

Katanya, Aiman mempunyai masa untuk memulihkan tenaga selepas mengharungi dua peringkat mencabar dengan penamat di Cameron Highlands dan Genting Highlands, sekali gus membolehkan pelumba berusia 27 tahun itu tampil lebih agresif pada dua peringkat terakhir.

“Ini memang baki peringkat yang saya rasa memberikan peluang kepada Nur Aiman Rosli dan itu yang kita sangat harapkan.

“Selepas Genting (semalam), ada masa untuk dia pulih dan Peringkat 7 boleh dikatakan peluang kedua terakhir.

“Kalau terlepas, di Putrajaya masih ada peluang untuk beliau membuktikan kewibawaannya sebagai seorang ‘breakaway rider’,” katanya.

Emir berkata, karakter laluan dua peringkat terakhir lebih sesuai untuk Aiman melancarkan serangan dan cuba meloloskan diri daripada kelompok utama, berbanding dua ujian pendakian sebelum ini.

“Dari segi perlumbaan, memang kita jangkakan dua peringkat terakhir itu menjadi peluang buat Aiman Rosli,” katanya.

Pada Peringkat 6 dari Pandan Indah ke Rembau, hari ini, Aiman menamatkan saingan di tempat ke-101 daripada 110 pelumba.

Bagaimanapun, rekod podium pada LTdL edisi lalu menjadi sandaran buat Aiman untuk kembali mencipta kejutan apabila dia menduduki tempat kedua pada Peringkat 7 dari Melaka ke Medini.

Peringkat 7 esok membabitkan laluan sejauh 158.9 kilometer (km) dari Melaka ke Batu Pahat, manakala saingan kemuncak edisi ke-30 diteruskan menerusi Peringkat 8 dari Muar ke Putrajaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top