austin@nst.com.my
Sepang: Pemandu lori sampah terkejut selepas bungkusan berat diambil dari timbunan sampah di Sungai Balak, Kajang sebenarnya mengandungi tiga biji bom mortar.
Lebih mencemaskan apabila pemandu lori Roro itu membawa bungkusan itu pulang ke rumahnya di Kampung Dato’ Ahmad Razali, di sini.
Md Raduan Ghani, 41, berkata, dia bekerja seperti biasa pada jam 4 pagi Jumaat lalu untuk memungut dan membuang sampah.
“Saya memandu lori ke Sungai Balak di Kajang untuk membuang sampah dan mengasingkan beberapa barangan yang agak berat.
“Selepas selesai bekerja, saya pulang ke rumah dan bungkusan plastik merah yang saya asingkan sebelumnya itu masih berada di dalam lori.
“Saya langsung tidak tahu apa isinya,” katanya ketika ditemui di luar rumahnya, malam tadi.
Md Raduan berkata, dia mula mengeluarkan barangan daripada bungkusan itu satu demi satu sebaik tiba di rumah dan terkejut apabila menyedari objek berkenaan menyerupai bom.
Dia kemudian memaklumkan kejadian itu kepada jiran yang terus menghubungi polis.
“Saya terus ke Balai Polis Dengkil untuk membuat laporan. Saya tidak pernah membayangkan perkara seperti ini akan berlaku dan ini kali pertama saya menemui objek seumpama itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, polis menerima laporan daripada pemandu lori berkenaan pada 3.30 petang.
Beliau berkata, anggota dari Balai Polis Dengkil mengawal ketat kawasan kejadian sebelum pasukan Unit Pemusnah Bom dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikerah ke lokasi.
“Pemeriksaan dijalankan dan tiga objek disyaki bom itu dipindahkan ke lokasi yang selamat.
“Keadaan di lokasi kejadian terkawal dan bahan letupan itu akan dimusnahkan esok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




