REUTERS
Paris: Victoria Beckham memperagakan rekaan gaun anggun, seluar berpotongan longgar dan beg tangan bersaiz besar dalam pertunjukan rekaan musim bunga/panas 2027 beliau pada Minggu Fesyen Paris di sini, pada Jumaat.
Model memperagakan sut bersaiz besar dalam rona hijau dan biru dengan bahu yang lebar, dipadankan bersama seluar berpotongan fabrik beralun melepasi tumit.
Jaket ‘parka’ pendek yang dikemaskan pada bahagian pinggang dipadankan di luar gaun lut sinar berbelah tepi dengan perincian pom-pom pada hujung gaun. Beg tangan gergasi pula dibawa bersama.
Perniagaan fesyen dan kecantikan Beckham mencatatkan keuntungan kendalian sebanyak £7.3 juta (RM43.1 juta) [$9.66 juta (RM43.5 juta)] pada 2025, sekali gus meraih keuntungan buat kali pertama sejak ditubuhkan pada 2008.
Hasil pendapatan jenama itu merangkumi sektor fesyen, barangan kulit, solekan dan minyak wangi meningkat 15 peratus kepada £129.8 juta (RM765.8 juta).
Jenama itu mempunyai kedai utama di London dan baru membuka kedai pertamanya di New York, bulan lalu.
Di Conciergerie, bekas penjara yang pernah menempatkan Marie Antoinette, model berarak melepasi barisan tetamu yang diterangi cahaya lilin termasuk Eva Longoria, David Beckham serta anak-anak pasangan itu iaitu Romeo, Cruz dan Harper.
Anak sulung pasangan Beckham, Brooklyn, bagaimanapun tidak kelihatan.
Beliau yang turut menghadiri Minggu Fesyen Paris dilihat berada di barisan hadapan pertunjukan Balenciaga pada Khamis bersama isterinya, Nicola Peltz.
Brooklyn mendedahkan dakwaan berhubung kelakuan ibu bapanya yang dituduh ‘mencampuri dan mengawal’ hidupnya pada Januari, sekali gus memaparkan perselisihan keluarga itu kepada umum buat kali pertama.
Minggu Fesyen Paris berlangsung sehingga Selasa ini, dengan pertunjukan pakaian wanita daripada jenama terkemuka seperti Hermès, Chanel dan Louis Vuitton bakal menyusul.
© New Straits Times Press (M) Bhd




